Berita

Bubur lambuk Hotel Zenith Putrajaya habis ‘licin’

KAKITANGAN Hotel Zenith mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai. KAKITANGAN Hotel Zenith mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai.
- Diterbit 24 April 2022 6:00 AM MYT

MERIAH. Orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bubur lambuk yang diagihkan oleh kakitangan Hotel Zenith Putrajaya secara pandu lalu di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Pengurus Besar Hotel Zenith Putrajaya, Gurdial Singh Bakshish Singh, pemberian bubur lambuk setiap tahun ketika bulan Ramadan merupakan tradisi kumpulan Zenith sejak dahulu lagi.

“Pemberian bubur lambuk kali ini agak istimewa memandangkan ini merupakan kali pertama ia dijalankan di Putrajaya sejak hotel ini dibuka pada tahun 2018. Kita memang merancang untuk menjayakannya sebelum ini tetapi tertangguh kerana wabak COVID-19.

“Bulan Ramadan adalah waktu yang terbaik untuk kita berkongsi rezeki dengan orang lain terutamanya golongan susah. Saya juga percaya dengan perkongsian ini akan memberi rahmat kepada kumpulan Zenith,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau lagi, 500 pek bubur lambuk yang disediakan Cef Eksekutifnya, Mohd Izhar Supar habis diedarkan hanya dalam tempoh kurang setengah jam.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita tidak sangka sebegitu cepat habis. Tahun hadapan kita bercadang untuk mengagihkan lebih banyak lagi pek bubur lambuk kepada orang ramai,” ujar beliau.

Lebih 100 hidangan bufet Ramadan boleh didapatkan di Hotel Zenith Putrajaya dengan harga berpatutan iaitu RM148 (Dewasa), RM108 (Warga Emas) dan RM88 (Kanak-Kanak). Selain Putrajaya, rangkaian Hotel Zenith juga turut terdapat di Kuantan dan Cameron Highlands. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas