Atlet Wilayah

Aidil berazam terpilih ke SUKMA 2022

AIDIL (belakang) turut berlatih bersama anak didiknya. AIDIL (belakang) turut
- Diterbit 24 April 2022 2:30 AM MYT

ATLET lontar peluru Wilayah Persekutuan, Muhammad Aidil Taufek berazam untuk memberi aksi yang terbaik bagi melepasi kelayakan ke SUKMA 2022 yang akan berlangsung pada September akan datang.

Katanya kepada Wilayahku, atlet SUKMA yang telah didaftarkan dalam senarai akan diberi peluang beraksi di tiga kejohanan iaitu Terbuka Pahang, Terbuka Johor dan Terbuka Perak yang dijadualkan pada Mei dan Jun ini.

“Saya akan pastikan diri layak ke SUKMA memandangkan ini adalah SUKMA terakhir yang akan disertai. Impian saya adalah untuk mendapatkan pingat emas bagi meraikan peluang terakhir beraksi di kejohanan tersebut,” ujar atlet berusia 23 tahun ini.

Dia yang juga merupakan jurulatih balingan yang dilantik oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) giat melatih atlet dibawahnya yang juga bakal menyertai sesi kelayakan ke SUKMA.

“Untungnya sambil mengajar saya juga dapat berlatih bersama-sama. Kiranya saya bernasib baik dapat buat dua perkara dalam satu masa. Ini satu peluang yang sangat berharga,” ujarnya kepada Wilayahku.

Komited dalam memburu kejayaan, Aidil berusaha sebaik mungkin menjalani latihan hampir setiap hari termasuklah ketika bulan Ramadan.

“Tiada istilah rehat dalam rutin harian saya melainkan ketika sakit. Aktiviti seharian saya memang sibuk memandangkan saya juga perlu mengulang kaji pelajaran,” ujar pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini.

Dalam masa yang sama, dia juga merupakan jurulatih kelab Quantum Athletics yang bertanggungjawab melatih pelapis atlet lontar peluru sedari akar umbi lagi yang menekankan cara asas bermain.

“Saya akan mengajar mereka asas mudah seperti melompat, berlari, memegang bola dan sebagainya terlebih dahulu kerana ia sangat penting sebelum mereka meningkat usia remaja kerana ada yang datang pada saya masih tidak tahu perkara-perkara ini.

Insya-Allah saya juga bakal mengadakan kelas dan ceramah kepada guru sukan di sekolah tentang cara asas yang perlu diajar kepada murid. Semuanya masih dalam perbincangan dan diharapkan semuanya dipermudahkan,” ujarnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas