Berita

Biasiswa FinTech untuk pelajar kurang berkemampuan

DAVID (dua dari kiri) bersama barisan tertinggi UMS selepas menandatangani LoI baru-baru ini
- Diterbit 8 Disember 2023 2:00 AM MYT

BAGI membantu pelajar kurang berkemampuan, Exness Investment Bank Limited menandatangani Letter of Intent (LoI) dengan Fakulti Pengkomputeran dan Informatik Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk memperkenalkan program biasiswa FinTech.

Di bawah LoI yang ditandatangani, bank tersebut telah membuat pelaburan awal sehingga RM300,000 untuk memperkukuh bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Exness Investment Bank, David Moyes, program itu meliputi yuran pengajian dan kos sara hidup pelajar tahun dua dan tiga dari Labuan, Sabah dan Sarawak.

“Biasiswa tersebut tersedia untuk pelajar yang mengikuti kursus dalam Sains Data, Kejuruteraan Perisian, Kejuruteraan Rangkaian, Teknologi Multimedia dan Pengkomputeran Perniagaan.

“Ini sejajar dengan misi kami untuk mengukuhkan pendidikan dalam bidang STEM, menyediakan peluang kepada pelajar muda yang berbakat untuk meneruskan pengajian mereka tanpa beban kewangan dan memberi kesan positif kepada komuniti,” katanya semasa Majlis Anugerah FKI dan LoI di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim H. Mansor berkata, pihaknya berbangga dengan sokongan yang diberikan oleh Exness Investment Bank Limited yang menyalurkan bantuan tersebut demi membantu meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan.

“Negara maju bergantung kepada kerjasama daripada pelbagai sektor dan UMS berharap hubungan baik antara UMS dan Exness Investment Bank Limited akan berkekalan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas