Berita

Batik bukan pakaian majlis formal sahaja

NORHIDAYAH (dua dari kiri) bersama-sama peserta memakai Batik sambil mengutip dan membersihkan sampah yang dijumpai di persekitaran pesisir Chimney Trail bertujuan agar kelestarian kawasan Geopark terjaga dan bersih.
- Diterbit 11 Disember 2021 5:00 AM MYT

BAGI memupuk budaya riadah sambil menjaga kelestarian alam, Tourism Malaysia Labuan dan Malaysia Airport Berhad menganjurkan Program Plogging Batik bagi memupuk budaya itu di kalangan warga pulau ini.

Program itu turut mendapat kerjasama Persatuan Penggiat Media Labuan, Perbadanan Labuan, Persatuan Bulan Sabit Merah dan juga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Labuan.

Chimney Trail Labuan merupakan salah satu kawasan Geopark di Labuan menjadi lokasi program itu.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, Norhidayah Mohd Nor berkata, pelaksanaan Plogging Batik bertujuan bagi memupuk budaya beriadah sambil menjaga keindahan alam sekitar serta mengetengahkan elemen pakaian batik dalam aktiviti harian.

“Program ini dapat memberikan pendidikan kepada masyarakat bahawa pemakaian batik bukan hanya terhad kepada majlis formal sahaja malah juga boleh dipakai dalam apa juga aktiviti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Plogging Batik di Chimney Trail pada Ahad lalu.

Norhidayah berkata, pelaksanaan program itu juga merupakan inisiatif mengabungkan elemen tradisional dengan kawasan pelancongan iaitu Chimney Trail yang dipilih menjadi lokasi program kerana batik juga merupakan sebahagian daripada produk pelancongan.

Justeru itu, beliau berharap agar generasi pada masa ini akan terus menyokong dan bersama-sama membantu mempraktikkan pemakaian batik agar ianya tidak dilupakan pada masa akan datang.

Hadir sama, Pengarah JPNIN Labuan Esther Dingkawan dan Presiden Penggiat Media Labuan Djainuddin Jimin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas