Selebriti

Azharina elak isu sensitif

- Diterbit 5 Februari 2024 4:00 PM MYT

MEDIA sosial merupakan medium penyampaian maklumat dengan pantas selain mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Namun, ia boleh menjadi perosak jika platform ini digunakan untuk memainkan isu berunsur 3R (kaum, agama, raja) untuk kepentingan diri dan sebagainya.

Berkongsi pandangan terhadap perkara tersebut, penyanyi Azharina menyeru rakyat Malaysia agar bersikap matang demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara yang telah terbina sejak dahulu lagi.

“Kita bebas luahkan apa yang kita rasa atau pendapat tetapi dalam masa yang sama perlu menjaga batas-batas sensitiviti antara kita. Jangan ingat bebas, boleh cakap apa sahaja terutamanya yang menyentuh sensitiviti dalam masyarakat.

Pelantun lagu Elegi Sepi dan Seandainya ini ini mengaku ‘seram’ apabila terbaca komen-komen netizen yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

“Kadang-kadang penggunaan perkataan itu menyebabkan ada yang sakit hati dan ia menimbulkan perbalahan. Meskipun mereka bertelingkah dalam media sosial, ia lebih bahaya kerana komen-komen dapat dibaca oleh semua orang,” ujarnya banyak isu semasa lain yang lebih sesuai dibincangkan.

Perkara ini juga mengingatkan Azharina ketika membesar di Sabah. Menurutnya, masyarakat di sana sangat menghormati budaya, kaum dan agama dalam komuniti mereka.

“Jadi kita perlu elakkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian ini. Kalau rasa tak suka dengan isu tersebut, tak perlu tinggalkan komen yang terlalu emosi. Diam itu lebih baik,” nasihatnya.

Berkongsi tentang impian pada tahun ini, Azharina akan memberi fokus terhadap pelancaran single terbaharunya yang sering tertangguh disebabkan masalah yang tak dapat dielakkan.

“Untuk pengetahuan semua, sebenarnya  saya rakam dua kali lagu tersebut. Saya harap lagu yang bakal dilancarkan ini juga disukai oleh anak-anak muda.

“Pasti semua peminat akan terkejut genre yang dibawa kali ini jauh berbeza daripada sebelum ini. Jadi semua peminat kenalah tunggu,” katanya yang bakal berduet bersama artis Singapura tidak lama lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas