Berita

Ayam proses di Pedas negatif Covid-19

AYAM proses. - Gambar hiasan
- Diterbit 14 Mei 2020 4:10 AM MYT

PUTRAJAYA – Keputusan ujian terhadap sampel ayam daripada kilang pemprosesan ayam di Pedas, Negeri Sembilan adalah negatif virus Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini selepas melakukan ujian pengesanan virus Covid-19 melalui kaedah Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) susulan insiden beberapa pekerja di kilang itu dikesan positif Covid-19.

Menurut kenyataan tersebut, operasi kilang yang mendapat pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) sejak 2008 itu juga diarah diberhentikan sementara bermula 7 Mei sehingga 20 Mei setelah Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan media pada 8 Mei lalu mengesahkan bahawa beberapa pekerja kilang itu positif wabak.

“Pemeriksaan daging ayam sentiasa dijalankan Pegawai Pemeriksa Daging bagi memastikan keselamatan dan kualiti ayam yang diproses di kilang tersebut adalah terjamin,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, JPV turut memaklumkan, sehingga kini, kajian saintifik beberapa agensi dan institusi antarabangsa antaranya Universiti Macau dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) Paris membuktikan haiwan seperti lembu, kambing, babi dan ayam bukan penyebar virus Covid-19 kepada manusia.

Tambahnya, kajian yang diterbitkan dalam beberapa jurnal antarabangsa itu menunjukkan bahawa penyebab kepada penyakit Covid-19 adalah virus SARS-Cov-2 iaitu daripada kumpulan betakoronavirus manakala kumpulan gammakoronavirus pula terdapat pada spesies unggas seperti ayam.

“Virus betakoronavirus tidak boleh menjangkiti spesies unggas kerana mempunyai reseptor berbeza.

“JPV menasihatkan masyarakat supaya tidak khuatir untuk memakan daging ayam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas