Berita

Rumah transit dibina untuk kemudahan pekerja tempatan di Pasar Borong

GELANDANGAN mencuba baju raya yang diberikan. GELANDANGAN mencuba baju raya yang diberikan.
- Diterbit 14 Mei 2020 3:03 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membina rumah transit berdekatan kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur bagi menarik warga tempatan bekerja di dalam sektor itu.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, perkara itu merupakan hasil perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan selain bertujuan untuk menyediakan beberapa kemudahan kepada warga tempatan.

“Saya juga sudah berbincang dengan wakil Persatuan Pemborong Ikan di pejabat saya hari ini, mereka bersetuju untuk memberi gaji kira-kira RM2,000 hingga Rm2,400 sebulan kepada pekerja tempatan.

“Semua pekerja di situ nanti akan disediakan kemudahan lain dan kalau rumah transit itu jauh, kita boleh sediakan bas asalkan rakyat tempatan mesti mahu bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Baju Raya Kepada Gelandangan di Pusat Gelandangan Sementara Dewan Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.

Menyifatkan tawaran gaji itu menarik dan munasabah, Annuar menyeru orang ramai mengambil peluang yang diberikan kerana sektor perkhidmatan semakin berkurangan selepas Covid-19 melanda negara.

Mengulas lanjut, ujar beliau, pihaknya juga sudah membuat perkiraan di kawasan itu dan ia memerlukan kira-kira 2,500 hingga 3,000 pekerja.

Beliau turut memberi peringatan kepada peniaga untuk mengutamakan warga tempatan dalam menawarkan peluang pekerjaan berbanding warga asing yang kini berdepan dengan masalah pengangguran ekoran penularan Covid-19 ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Roshida Jaafar; Timbalan KSU, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman serta Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Muhammad Asrak Mohd. Osman.

Pada 11 Mei lalu, Jabatan Imigresen Malaysia telah melakukan operasi besar-besaran dengan menyasarkan warga asing yang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi membendung penularan wabak.

Terdahulu, Annuar menyampaikan sumbangan baju raya kepada gelandangan dan turut berbuka puasa bersama golongan itu.

Sumbangan baju raya disumbangkan Jakel dan beberapa syarikat korporat yang lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas