Berita

18,000 asnaf baharu muncul ekoran PKP

AHMAD SHUKRI menunjukkan poster Count Down 10 Ramadan terakhir untuk menggalakkan orang ramai membayar zakat.
- Diterbit 14 Mei 2020 7:48 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai 18,000 individu muncul sebagai asnaf baharu ekoran keadaan ekonomi sekarang sehingga membuatkan mereka kini disenaraikan dalam kategori penerima zakat.

Ketua Pegawai Eskekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff berkata, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kegiataan ekonomi telah terjejas hingga ramai yang hilang punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga, dibuang kerja dan sebagainya.

Justeru beliau berkata, PPZ-MAIWP perlu memastikan dana sedia ada dapat dipertingkatkan bagi membolehkan ia dapat disalurkan kepada asnaf baharu tersebut.

“Jumlah bantuan juga perlu ditambah bagi menampung kos bantuan kepada penerima zakat sedia ada. Oleh itu saya menyeru semua masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk segera menunaikan zakat walaupun belum cukup haul disebabkan situasi ini.

“Kita memang sangat memerlukan dana untuk diagihkan kepada asnaf yang memerlukan di samping asnaf yang baharu lahir, jadi satu harapan besar bagi kami supaya masyarakat dapat bertindak segera melaksanakan ibadat zakat pada waktu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma PPZ-MAIWP, Taman Shamelin Perkasa di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, bagi membantu golongan memerlukan sepanjang PKP, PPZ-MAIWP melalui program tanggungjawab sosial korporatnya, Musaadah Khaira PPZ secara dalam talian telah menyalurkan bantuan kepada 20,000 golongan B40 di seluruh negara dengan setiap seorang menerima sumbangan RM300 dengan keseluruhan berjumlah RM6 juta.

Serentak itu, Ahmad Shukri menyeru umat Islam agar mengambil kesempatan pada 10 Ramadan terakhir ini untuk segera menunaikan zakat bagi meraih pahala berganda.

Beliau berkata, pada tahun ini PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat harta sejumlah RM690 juta berbanding pencapaian pada tahun lepas sebanyak RM682 juta.

Bagi zakat fitrah pula katanya, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta daripada RM9.8 juta yang dianggar dapat dikutip pihak MAIWP melalui amil-amil dilantik.

Bagi memenuhi keperluan masyarakat menunaikan zakat harta dan fitrah, PPZ-MAIWP menyediakan sembilan kaunter iaitu enam di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan satu di Labuan dengan waktu beroperasi dari pukul 8.15 pagi hingga 4.30 petang.

“Orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berurusan di kaunter,” katanya sambil menyatakan orang ramai juga boleh membuat bayaran zakat harta di portal www.zakat.com.my manakala zakat fitrah di fitrah.zakat.com.my dengan kadar harga RM7 dan RM5. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas