Berita

Arab Saudi bakal anjur Kongres Petroleum Dunia ke-25 pada 2026

- Diterbit 3 Oktober 2022 2:32 PM MYT

KERAJAAN Arab Saudi akan menganjurkan Kongres dan pameran Petroleum Dunia ke-25 pada 2026.

Ketua Pengarah Majlis Petroleum Dunia (WPC) Dr. Pierce Riemer mengumumkan Arab Saudi memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah kongres dan pameran itu, di luar Forum Belia Majlis Petroleum Dunia (WPC) di Almaty, Kazakhstan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Beliau berkata sebagai pengeksport minyak terbesar dan antara negara yang memiliki rizab minyak terbesar di dunia, penganjuran kongres ke-25 itu juga menyerlahkan kepentingan Arab Saudi sebagai tuan rumah kepada mesyuarat tenaga terpenting di peringkat global.

Riemer juga menyatakan hasrat bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menganjurkan kongres yang berjaya pada 2026 dengan kapasitinya sebagai perintis global dalam bidang tenaga, selain menjadi antara pemain ekonomi paling aktif di dunia.

Bidaan Arab Saudi menjadi tuan rumah acara itu mendapat sokongan memberangsangkan di peringkat antarabangsa.

Kongres Petroleum Dunia yang dianjurkan setiap tiga tahun itu dianggap acara terkemuka menghimpunkan pelbagai negara dan organisasi antarabangsa bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga serta menyediakan penyelesaian kepada cabaran utama dihadapi sektor penting ini.

Sementara itu, edisi ke-24 acara itu akan diadakan di Calgary, Kanada pada 17 hingga 21 Sept 2023. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas