Berita

Apandi Ali buat laporan polis, dakwa buku Tommy Thomas fitnah banyak pihak termasuk dirinya

- Diterbit 4 Februari 2021 12:42 PM MYT

TAN Sri Mohamed Apandi Ali hari ini membuat laporan polis berkaitan kandungan buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berjudul My Story: Justice In The Wilderness, yang didakwa memfitnah banyak pihak termasuk dirinya.

Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini dengan diiringi peguamnya Datuk Baljit Singh Sidhu pada 2.30 petang.

Mohamed Apandi, yang menjadi Peguam Negara pada 2015 sehingga 2018, menerusi kenyataan yang diedarkan kemudian, memaklumkan laporan itu adalah untuk memastikan semua pihak yang difitnah, dianiaya dan dihina dalam buku tersebut mendapat keadilan.

“Ini adalah terutamanya untuk pegawai perundangan di Jabatan Peguam Negara yang sedang berada dalam dilema kerana mereka mahu membela diri tetapi ini bermaksud mereka terpaksa melawan bekas ketua mereka.

“Walaupun saya dilemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah semasa menjadi Peguam Negara, saya tidak sekali-kali melepaskan satu pun cerita atau maklumat walaupun dalam buku-buku memoir saya kerana semua yang saya tahu adalah rahsia negara,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Laporan polis beliau menyatakan bahawa buku itu, yang diterbitkan baru-baru ini, mengandungi fitnah jenayah terhadap dirinya terutama di muka surat 199.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai mengesahkan menerima laporan daripada Mohamed Apandi dan siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas