Berita

Pasar malam, kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibenar beroperasi mulai esok

ISMAIL Sabri
- Diterbit 4 Februari 2021 12:44 PM MYT

PASAR malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenar beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut.

“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pasar malam dibenar beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam dengan memastikan jarak satu meter antara setiap gerai, laluan keluar masuk yang berbeza, dan ada pengawasan oleh RELA untuk memantau pergerakan pengunjung.

Bagi kedai gunting rambut dan salon, beliau berkata ia dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam namun hanya perkhidmatan gunting rambut dibenarkan.

“Rawatan muka dan lain-lain untuk kecantikan tidak dibenarkan dan SOPnya juga ketat iaitu petugas mesti pakai pelindung muka dan lebih baik kalau ada pelitup muka (bersekali), apron digunakan mesti dipakai buang, setiap pelanggan satu apron dan sarung tangan perlu dipakai oleh petugas yang menggunting rambut.

“Begitu juga dengan gunting dan sikat mesti dicuci dengan air panas sebelum digunakan untuk pelanggan baharu. Pusat cuci kereta juga dibenar beroperasi sehingga 10 malam,” katanya.

Ismail Sabri turut memberi bayangan lebih banyak aktiviti termasuk sukan dan rekreasi seperti gim dan kejohanan sukan berimpak tinggi, selain sektor peruncitan akan diberi kelonggaran namun ia tertakluk kepada penilaian risiko dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini, katanya selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masing-masing mengemukakan cadangan kepada mesyuarat khas hari ini.

“Kami teliti setiap perkara dibentangkan sama ada KPDNHEP dan KBS. Kami akan kaji dan setiap kajian kami pastinya akan dapat pandangan daripada KKM dan mereka akan buat penilaian risiko dan berdasarkan kluster baharu yang wujud daripada setiap aktiviti yang dicadangkan.

“Sekiranya KKM berpandangan risiko tidak tinggi dan daripada data tidak tunjukkan kluster-kluster baharu dihasilkan maka ada kemungkinan kami akan luluskan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata tindakan tegas boleh dikenakan terhadap majikan yang didapati enggan membayar atau menanggung kos saringan COVID-19 pekerja asing mereka.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut mewujudkan talian hotline untuk pekerja menyalurkan aduan atau maklumat sekiranya mereka ditindas majikan seperti pemotongan gaji untuk menampung kos saringan COVID-19.

Mulai 1 Feb, semua pekerja asing diwajibkan menjalani ujian calitan dan kos saringan dibiayai oleh majikan masing-masing.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Pasukan Khas Operasi Pematuhan SOP boleh membuat pemeriksaan di premis atau pejabat swasta sekiranya perlu.

“Walaupun pejabat swasta tak benarkan orang luar masuk ke premis mereka tetapi untuk penguatkuasaan, task force boleh masuk dalam mana-mana pejabat untuk pemeriksaan,” katanya sambil berharap majikan mematuhi SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pengoperasian pejabat.

Beliau turut memberi amaran, premis atau aktiviti perniagaan yang dibenarkan beroperasi termasuk pasar malam akan diarah tutup serta-merta sekiranya didapati gagal mematuhi SOP atau jika terdapat kes COVID-19.– BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas