Berita

Al-Jufferi tidak mahu kecewa lagi

Al-JUFFERI berharap kategorinya dipertandingkan tahun hadapan.
- Diterbit 14 Mei 2020 8:14 AM MYT

KUALA LUMPUR – Selepas kecewa apabila kategori Kelas Putra E (65-70kg) tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019, jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari berharap tuan rumah Sukan SEA 2021, Vietnam akan mempertandingkannya di temasya itu nanti.

Kelas saya tidak dipertandingkan di Sukan SEA lalu di Filipina, jadi ia amat mengecewakan,” ujar Al-Jufferi.

Mengulas mengenai Vietnam yang bakal menganjurkan temasya Sukan SEA yang dijadualkan pada 21 November hingga 2 Disember 2021, Al-Jufferi berkata, Vietnam antara kuasa besar dalam sukan silat dan dia yakin sebagai tuan rumah, Vietnam akan mempertandingkan banyak kategori.

“Saya lihat Vietnam sebagai negara yang agak kuat di sekitar Asia, jadi saya rasa tidak mungkin mereka hanya akan meletakkan acara tertentu saja untuk dipertandingkan.

“Kemungkinan Vietnam juga akan menjadi seperti Malaysia ketika menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, iaitu menganjurkan kategori penuh. Doakan saya dapat sertai Sukan SEA akan datang,” tambah Al-Jufferi.

Al-Jufferi yang bertanding dalam Kelas Putra E (65-70kg) tidak dapat mewakili negara pada temasya yang lepas apabila tuan rumah Filipina mengambil keputusan untuk hanya mempertandingkan lima acara silat olahraga dan empat acara bagi silat seni.

Terdahulu, pasukan silat negara sedang dalam persiapan menghadapi Kejohanan Silat Dunia yang akan berlangsung pada Julai depan di Sarawak namun status penganjurannya masih belum pasti disebabkan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas