Berita

Solat Jumaat, sembahyang berjemaah dibenarkan mulai esok

- Diterbit 14 Mei 2020 9:32 AM MYT

PUTRAJAYA – Bermula esok orang ramai dibenarkan untuk menunaikan  solat Jumaat, berjemaah dan tarawih ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih berstatus zon hijau di Wilayah Persekutuan.

Kebenaran itu juga meliputi solat sunat Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun, jumlah jemaah dibenarkan setakat 30 orang dengan  keutamaan diberikan kepada jemaah lelaki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang 8 Mei lalu sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei memutuskan bersetuju menerima titah Yang di-Pertuan Agong bahawa semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Lain-lain solat secara berjemaah di masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih dalam tempoh PKPB boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei (esok).

“Bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi  30 orang. 

“Ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan saya dengan Perdana Menteri pada 12 Mei lalu,” ujarnya.

Tambahnya, pihak masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri. 

“Saya sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara berhubung hal ini dan beliau bersetuju untuk memberi kerjasama yang penuh.

“Ahli Jawatankuasa masjid, surau Jumaat dan surau-surau  terpilih perlu memastikan SOP MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Beliau dimaklumkan,  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)  akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk maklumat pihak  jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih serta umat Islam.

Berhubung  jumlah jemaah ia tertakluk kepada pihak berkuasa dan keputusan agama negeri masing-masing selepas mendapat nasihat daripada KKM dan MKN.

“Saya ingin mengingatkan kepada umat Islam yang telah memperoleh kebenaran solat, antara lain melaksanakan penjarakan sosial di dalam dan di luar masjid .

Jarak antara jemaah adalah sejauh satu meter antara satu sama lain dan wajib memakai penutup muka.

Cara masuk dan keluar mengikut giliran dan teratur dan menjaga penjarakan terkawal.

“Jemaah yang menghidap penyakit kronik, warga emas berusia 70 tahun ke atas  dan kanak kanak berusia 15 tahun ke bawah tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid. Semua Jemaah diminta mengambil, wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing sebelum hadir.

“Jemaah  dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang dan tidak ada perkumpulan dibenarkan selepas solat sama ada di dalam atau di luar masjid,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas