Berita

Pemegang pas lawatan sosial, PR tak bayar caj hotel dikena tindakan Imigresen

- Diterbit 14 Mei 2020 8:07 AM MYT

PUTRAJAYA – Pemegang pas lawatan sosial jangka Panjang dan pemastautin tetap (PR) yang enggan membayar kos penginapan hotel ketika menjalani kuarantin wajib bakal berdepan tindakan Jabatan Imigresen.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mendapati wujud segelintir pasangan atau anak rakyat tempatan yang dibawa pulang dari luar negara yang memegang kedua-dua jenis pas terbabit berdegil enggan membayar kos penginapan hotel sepanjang menjalani kuarantin wajib.

Tambah beliau, dasar kuarantin wajib menggariskan kerajaan hanya menanggung kos penginapan hotel untuk rakyat tempatan yang dibawa pulang dari luar negara.

“Kami menerima aduan mengatakan segelintir pasangan atau anak mereka tidak mahu membayar kos penginapan hotel sebaik selesai tempoh kuarantin. Pasangan atau anak rakyat tempatan tidak diberi keistimewaan (kos ditanggung oleh kerajaan) dan mereka perlu menjelaskan bayaran menggunakan wang sendiri.

“Oleh itu, pagi tadi kami berbincang dan membuat keputusan pemegang pas lawatan sosial jangka panjang dan PR akan dikenakan tindakan Imigresen sekiranya berdegil untuk tidak membayar kos penginapan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, antara tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka yang berdegil ini adalah seperti membatalkan kemudahan Imigresen yang mereka nikmati selama ini sehinggalah mereka membayar segala kos tertunggak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, semalam polis menahan 10 individu kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jumlah tangkapan itu sekali gus mencatatkan peningkatan mendadak berbanding kelmarin yang hanya menyaksikan PDRM menahan seorang individu di Selangor.

Menurut Ismail Sabri, penahanan itu selari dengan keputusan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang dikesan gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas