SISTEM e-Tanah merupakan inisiatif dan langkah proaktif kerajaan untuk merealisasikan objektif mendigitalkan sistem pentadbiran tanah secara elektronik agar lebih efektif, telus dan berintegriti.
Secara dasarnya, sistem e-Tanah telah diaplikasikan merangkumi keseluruhan perundangan tanah yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara (KTN).

Menurut Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Muhammad Yasir Yahya, pelaksanaan sistem e-Tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula pada 19 Jun 2016 secara berfasa dan mengandungi sembilan (9) modul utama merangkumi keseluruhan urusan pentadbiran tanah seperti pelupusan tanah, pembangunan tanah, pendaftaran hak milik, kebenaran pindahan, urusniaga dan bukan urusniaga, pengambilan tanah, lelongan awam dan juga pungutan hasil tanah.
Justeru katanya, sistem e-Tanah memberi faedah dan impak positif kepada kerajaan dalam menjalankan pentadbiran tanah secara digital dan menyediakan perkhidmatan kepada orang awam secara elektronik melalui pelaksanaan Single Point of Contact (SPOC) dan juga atas talian.
“SPOC adalah Pusat Perkhidmatan Setempat dalam sistem e-Tanah yang menyedia kemudahan perkhidmatan pelanggan yang komprehensif kepada orang awam bagi berurusan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL).
“Bagi melestarikan perkhidmatan yang berpaksikan rakyat, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menawarkan beberapa perkhidmatan secara atas talian melalui Portal Awam e-Tanah WPKL seperti pembayaran cukai tanah dan petak, carian persendirian hakmilik dan carian daftar strata, permohonan tanah dan semakan status permohonan,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.
Selain itu, Portal Awam e-Tanah WPKL turut menyediakan perkhidmatan sistem carian bersepadu iaitu Single Windows Search (SWS) secara atas talian bagi memudah dan menjimatkan masa pemohon melaksanakan urusan hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Muhammad Yasir, sebelum perkhidmatan ini diperkenal, prosedur pendaftaran hartanah memerlukan pemohon hadir ke jabatan atau agensi terlibat untuk membuat carian maklumat hakmilik (PPTG WPKL), status kebangkrapan (Jabatan Insolvensi) dan maklumat syarikat (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) secara berasingan.
Namun setelah perkhidmatan SWS dilaksanakan katanya, pemohon kini boleh membuat carian maklumat bagi ketiga-tiga platform tersebut secara serentak melalui Portal Awam e-Tanah WPKL pada bila-bila masa dan di mana jua tanpa perlu ke kaunter PPTG WPKL mahupun agensi terlibat selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan urusan di kaunter melalui pemanfaatan pendigitalan.
“Perkhidmatan SWS secara single sign on ini telah berjaya mengurangkan prosedur bagi pendaftaran hartanah di Kuala Lumpur daripada lapan prosedur kepada lima prosedur sahaja.
“Inisiatif ini secara langsung berjaya meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-33 daripada 190 negara dalam laporan Ease of Doing Business 2020 oleh Bank Dunia bagi indikator pendaftaran hartanah, selain turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi tempat pertama kategori perkhidmatan awam dalam ASEAN ICT Award pada tahun 2018,” jelasnya.
Sementara itu, sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 dan era Kerajaan Digital, keperluan dan kehendak rakyat dalam melaksana sebarang urusan dengan pihak kerajaan secara atas talian dapat dilaksanakan dengan menyeluruh (end-to-end) tanpa perlu bersemuka, menjadi salah satu keutamaan kerajaan.
Sehubungan itu kata Muhammad Yasir, sistem e-Tanah WPKL akan terus ditingkatkan keupayaannya melalui pelaksanaan Online Presentation and Registration (OPR) di mana urusan penyerahan dan pendaftaran urusniaga tanah bakal dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya.