Berita

“Tuhan Nak Bagi Saya Belajar Banyak Perkara” – SHARUL KAMAL

||SHARUL muncul dengan lagu baharu berjudul Maaf
- Diterbit 16 Oktober 2020 3:43 AM MYT

TIADA istilah menyesal bagi penyanyi kacak Sharul Kamal apabila dirinya tidak menonjol seperti mana rakan-rakan penyanyi lain yang sebayanya.

Bagi juara program nyanyian Immortal Song episod lagenda Datuk Jeffrydin ini, rezekinya akan tiba selagi dirinya tidak berhenti untuk terus berusaha. 

SHARUL KAMAL muncul juara dalam Immortal Song episod Datuk Jeffrydin

Sharul juga berharap penampilannya pada program Immortal Song itu dapat memberikan lebih banyak peluang untuknya mengetengahkan bakat dimiliki.

“Saya nak berterima kasih kepada Akim, Stacy dan Epul kerana sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk menonjolkan bakat yang ada. Kalau diberi peluang lagi, saya akan buat yang lebih baik.

“Saya sangat bersyukur Allah SWT meletakkan jalan saya macam ni. Tuhan nak bagi saya belajar banyak perkara dan duduk dengan orang berpengalaman. Insya Allah, saya akan berjaya suatu hari nanti,” katanya yang menyertai Immortal Song pada saat-saat akhir kerana menggantikan artis yang menarik diri.

Sharul, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 2015 ini menganggap penyertaannya itu sangat berbaloi.

“Saya masuk pada saat akhir sebab ada artis tarik diri. Kebetulan saya ikut Akim untuk sesi ‘soundcheck’ untuk program lain juga terbitan TV3. 

“Apabila mereka melihat saya, mereka terus tawarkan. Khamis saya baru dapat lagu dan rakaman program pada Ahad.

“Lagu yang dipersembahkan pun saya pilih pada saat akhir. Kenapa lagu itu, sebab lagu popular Datuk Jeffrydin semua sudah dipilih penyanyi lain. 

“Jadi, saya cari lagu lain dan saya pilih lagu itu. Freddy pun terus siapkan beberapa susunan muzik, dan saya pilih seperti apa yang dipersembahkan pada malam itu.

“Akim pun kata okay. Kiranya saya hanya ada masa tiga hari saja untuk siapkan semua. 

“Saya juga tak meletakkan sasaran nak menang, sebab semuanya saat akhir. Apabila menang, saya anggap ia berbaloi dan rezeki,” katanya lagi.

SHARUL muncul dengan lagu baharu berjudul Maaf

Kemenangannya itu secara tidak langsung membuatkan ramai peminat mula mencari dan mendengar semula single yang pernah dirakamkan Sharul sebelum ini. 

Antaranya yang terbaru adalah Maaf, lagu hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Bunga Cantik.

“Lagu ini dirakam tahun lalu. Sepatutnya ia dilancarkan juga tahun lepas, tapi disebabkan beberapa perkara ia ditunda.

“Selepas membuat perbincangan dengan pihak pengurusan iaitu Rhythm and Rhyme Entertainment (RNR), baru ia dilancarkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

“Video muzik (MV) dirakam pada Jun dan seminggu selepas lagu dilancarkan di semua platform digital, MV pula dilancarkan di YouTube,” katanya yang berharap dapat berdiri sebaris dengan penyanyi popular lain pada masa akan datang.

Sebelum ini Sharul pernah popular menerusi lagu Hanya Kamu. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas