Berita

Malaysia-Argentina perlu rangka strategi baharu lebih inovatif

- Diterbit 16 Oktober 2020 6:48 AM MYT

TERDAPAT keperluan mendesak untuk merangka strategi lebih inovatif bagi memperkukuh lagi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Argentina, berikutan kemunculan pandemik COVID-19.

Timbalan setiausaha agung Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Hairil Yahri berkata ia penting memandangkan Argentina kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia dengan hubungan dua hala ekonomi dan pelaburan terus berkembang di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

“Dengan pandemik akan melanda untuk satu jangka masa agak lama, perlunya untuk merangka semula strategi memperkukuh lagi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan (antara Malaysia dan Argentina) dengan lebih inovatif.

“Apa yang penting sekarang ialah memanfaatkan hubungan untuk meneroka jalan menuju pemulihan dan pertumbuhan semula ekonomi pascakrisis bagi kedua-dua negara,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena webinar Malaysia dan Argentina: Memperkukuh Perdagangan Dua Hala dan Pelaburan dalam Kebiasaan Baharu, pada Rabu (14 Okt).

Hairil Yahri berkata hubungan diplomatik Malaysia dan Argentina terjalin pada 7 Jun 1967, dan sejak itu selama lima dekad lalu “kami terus memperkukuh hubungan dua hala termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan”.

“Argentina kini menjadi rakan dagang ketiga terbesar kita di Amerika Latin dan Malaysia pula rakan dagang keempat terbesar Argentina di ASEAN.

“Walaupun perdagangan global Malaysia mencatat pertumbuhan negatif antara Januari dan Ogos tahun ini, sukacita saya kongsikan perdagangan Malaysia dengan Argentina yang mencatat pertumbuhan positif 20.4 peratus dengan kedua-dua eksport ke Argentina dan import dari Argentina masing-masing meningkat 23.4 dan 20.1 peratus,” katanya.

Hairil Yahri turut memberi jaminan kepada pelabur Argentina, Malaysia akan terus menerapkan perdagangan dan pelaburan terbuka berdasarkan prinsip ketelusan, ramalan, kebertanggungjawaban dan keadilan.

Beliau menyeru pelabur mempertimbangkan tawaran, insentif dan pelepasan cukai menguntungkan di Malaysia yang sangat kompetitif di rantau ini dan melihat Malaysia sebagai pintu masuk kepada hampir 650 juta penduduk di pasaran ASEAN.

Sementara itu, Setiausaha Rendah Menteri Luar untuk Perundingan Ekonomi Multilateral dan Dua Hala, Duta Dr Carola Ramon-Berjano dalam ucapannya berkata banyak potensi dalam hubungan komersial dan ekonomi kedua-dua negara boleh diteroka berdasarkan asas kukuh yang dibina sejak 53 tahun lalu.

“Malaysia rakan penting bagi Argentina. Kami percaya peranannya dalam ekonomi antarabangsa akan meningkat pada masa depan. Pada 2019, empat dari 10 pengimport utama produk Argentina berasal dari negara ASEAN,” tambahnya.

Ramon-Berjano turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membenarkan Argentina mendapat semula akses ke dalam pasaran Malaysia untuk mengeksport daging lembu sejuk beku.

Media melaporkan pasaran itu ditutup pada 2010 kerana perubahan peraturan Malaysia dalam pengesahan produk Halal. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas