Selera

Syurga ikan singgang di tengah bandar raya

PENIAGA dan penjaja di ibu kota terjejas apabila tidak dapat beroperasi sepanjang PKP. Gambar hiasan BARISAN kedai yang menyediakan hidangan Makanan yang berasal di Negeri Cek Siti Wan Kembang.
- Diterbit 26 September 2019 10:46 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

DERETAN gerai yang menjadi ‘port’ makanan Kelantan di tengah ibu kota seringkali menjadi lokasi wajib kepada para penggemar masakan ikan singgang. Malah ada dalam kalangan mereka sanggup memandu dan meredah kesesakan jalan raya hanya untuk merasai nikmatnya makanan dari negeri Pantai Timur itu.

Makanan yang popular dan berasal dari negeri Chek Siti Wan Kembang ini sememangnya mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana nikmat menghirup sup ikan singgang ini benar-
benar membuka selera dan dek kerana itu, ia tidak asing lagi walau lokasinya agak tersorok di celah-celah bangunan lama dan baru di sekitar kompleks beli-belah Quill Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Beroperasi seawal pukul 5 petang sehingga 4 pagi setiap hari, pelanggan yang membawa kenderaan tidak perlu risau kerana kawasan parkirnya mencukupi.

Dengan bayaran antara RM3 hingga RM5 sekali masuk, parkir berkenaan bagaimanapun agak sesak, terutamanya pada waktu makan puncak antara pukul 8 sehingga 10 malam.

Di medan selera yang mempunyai kira-kira lapan unit gerai itu, kesemua kedai makan menawarkan hidangan sama iaitu singgang atau sup ikan jernih yang rasanya masam manis bersama ulam dan budu. Ia disempurnakan dengan ikan rebus goreng di samping sajian tambahan ulam petai, kerabu kaki ayam, burung puyuh goreng kunyit dan lidah goreng.

SINGGANG Ikan Tenggiri

Hidangan utamanya sudah pasti nasi putih bersama singgang ikan. Menariknya disini, anda boleh memilih samada mahukan ikan tongkol,
ikan kembong, ikan tenggiri atau ikan
siakap.

Bagi yang menjamu selera bersama keluarga, hidangan tambahan seperti ikan rebus goreng atau lidah lembu yang digoreng garing dan rangup perlu dicuba. Enak sungguh dimakan ketika panas-panas.

Sekiranya anda mahukan kelainan di dalam masakan singgang, anda boleh mencuba menu ketam singgang, sotong dan juga daging yang merupakan hidangan asli Kelantan.

Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan dengan keadaan ekonomi masa kini.

Selain masakan tersebut, disini juga turut menyediakan masakan panas yang lain sama seperti yang terdapat di gerai-gerai makanan yang menjual masakan Thailand.

Walaupun kawasan ini sudah cukup terkenal kerana keenakan singgang, namun berhadapan dengan deretan gerai ini, sebuah projek gerai baru sedang giat dilaksanakan untuk menceriakan lagi kawasan itu pada masa hadapan.

Sekiranya siap gerai baharu, kawasan ini akan tetap dikekalkan imejnya sebagai Medan Selera Singgang yang merupakan syurga masakan pantai timur kerana ruang makan dan dapurnya bersih.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas