Fokus

Putrajaya Command Centre guna teknologi canggih

PUTRAJAYA Command Centre dilengkapi sistem paparan berdefinisi tinggi dan alat-alat komunikasi berkualiti tinggi.
- Diterbit 4 Oktober 2019 12:03 AM MYT

GAMBARAN sebuah bilik kawalan keselamatan yang canggih dengan puluhan skrin komputer berserta visual dan maklumat digital biasa dilihat dalam filem aksi atau rancangan penyiasatan seperti Crime Scene Investigation (CSI).

Segala maklumat dapat diakses dengan pantas di hujung jari selain tindakan dilakukan segera sebaik sesuatu insiden dikesal melalui visual dipaparkan melalui Televisyen Litar Tertutup (CCTV). Apa yang disaksikan di kaca TV tersebut sebenarnya wujud dan jangan terkejut, Perbadanan Putrajaya (PPj) berjaya membangunkan sebuah pusat kawalan yang begitu canggih dikenali sebagai Putrajaya Comand Centre (PCC).

Ia dilengkapi ratusan CCTV yang menjadi ‘mata’ bagi memantau seluruh pergerakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu. Kawalan keselamatan yang cekap amat diperlukan memandangkan Putrajaya yang meliputi keluasan 49,000 meter persegi menempatkan Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra dan 23 buah bangunan kementerian.

Putrajaya juga menempatkan dua buah istana iaitu Istana Melawati yang dimiliki Yang Dipertuan Agong dan Istana Darul Ehsan milik Sultan Selangor.

Malah Putrajaya juga sering menerima lawatan daripada ketua-ketua negara asing dan diplomat dari luar negara. Dengan reputasi yang dimiliki sebagai bandar berprofil tinggi, ia perlu dipastikan sentiasa selamat.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Smart City, Pejabat Presiden PPj, Mohd. Musabri Shaharom, PCC menjadi salah satu tonggak utama imej bandar raya dengan keupayaan mengadaptasi pelan ‘Smart Security and Safety’.

“PCC telah ditubuhkan pada tahun 2004 menerusi cetusan idea Presiden PPj yang pertama, Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin dan merupakan salah satu inisiatif pintar di bawah ‘Blueprint Smart City Putrajaya’ yang bertujuan untuk meningkatkan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan awam menerusi penggunaan teknologi terkini.

“Ia juga berfungsi sebagai pusat pemantauan berpusat keseluruhan perbandaran yang merangkumi pemantauan keselamatan, trafik, kualiti alam sekitar, infrastruktur dan bencana alam,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Mohd. Musabri berkata, selaras dengan hala tuju Putrajaya sebagai bandar pintar dalam taman, PPj telah menaik taraf dan menambah fungsi-fungsi baru PCC menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jua keadaan.

“Sebelum pembinaan Putrajaya lagi, kerajaan telah membina infrastruktur teknologi menggunakan ‘fibre optic’ sebagai landasan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar pintar di Malaysia.

“Dengan teknologi fibre optic, penggunaan teknologi untuk Smart CCTV dengan keupayaan Full HD dapat digunakan sepenuhnya dan proses pemantauan keselamatan dapat dimaksimumkan,” katanya.

Menurut beliau, ketika ini PCC dilengkapi 262 CCTV berteknologi tinggi dengan teknologi dari Jerman.

“Keupayaan Smart CCTV di PCC dilengkapi teknologi Intelligent Video Analytic, kualiti video Full HD dan keupayaan membuat pengecaman dari jarak empat kilometer.

“Dengan teknologi Full HD, CCTV di sini tidak mempunyai masalah untuk merakam sebarang aktiviti dalam apa jua keadaan walaupun pada waktu malam dan imej yang dirakam juga jelas,” katanya.

Tambah Mohd. Musabri, PPj akan menambah kira-kira 200 unit lagi Smart CCTV menjelang hujung tahun 2020 untuk meningkatkan lagi pemantauan dan keselamatan warga Putrajaya dan pengunjung ke bandar tersebut.

“Setiap pemasangan CCTV ditentukan oleh pihak polis seperti lokasi, ketinggian dan sudut letak CCTV tersebut dan pergerakan CCTV tersebut tidak terhad memantau di bawah sahaja kerana ia boleh berputar sehingga 360 darjah dan boleh memantau keadaan di udara,” katanya.

Kata Mohd. Musabri lagi, antara kecanggihan CCTV ini, ia mampu mengesan dan mengira jumlah kenderaan yang keluar dan masuk ke dalam Putrajaya.

“Melalui paparan di video LED, kami hanya perlu melakar satu garisan dan secara automatik, jumlah kenderaan dan mengikut kategori kenderaan,” katanya.

Intelligent Video Analytic (IVA)

 

PANIC button yang diletakkan di sekitar Putrajaya terutama kawasan tumpuan pelancong.

Menurut Mohd. Musabri, CCTV di PCC juga dilengkapi teknologi Intelligent Video Analytic (IVA) di mana sistem tersebut akan membantu petugas memberi makluman awal secara automatik sekiranya berlaku insiden-insiden yang mencurigakan.

“Sistem IVA mampu mengesan tingkah laku manusia yang bergerak seolah-olah ingin melakukan jenayah, di mana pergerakan individu tersebut akan dibulatkan dengan warna merah dan terus masuk ke dalam sistem sebagai amaran awal kepada PCC.

“Ia juga mampu mengesan pencerobohan ke kawasan larangan atau kawasan sensitif, mengesan perhimpunan manusia, objek atau barang yang dialih dan juga mengesan barang yang ditinggalkan,” katanya.

Tambahnya, kecanggihan sistem IVA turut dapat membantu petugas mengesan insiden-insiden yang melibatkan keselamatan jalan raya seperti kenderaan dipandu lawan arah, kenderaan yang berhenti di kawasan yang tidak sepatutnya dan ia juga dapat mengesan insiden kemalangan jalan raya.

MOHD. MUSABRI SHAHAROM

Mohd. Musabri berkata, PCC juga menyediakan kemudahan panic button yang boleh berkomunikasi dengan CCTV selain dilengkapi fungsi video dan audio.

“Sebanyak 39 unit Panic button telah dipasang di sekitar Putrajaya dan lokasi tumpuan orang ramai serta pelancong. Menjelang tahun 2020, PPj akan menambah kira-kira 50 unit panic button bagi meningkatkan lagi keselamatan di Putrajaya.

“Fungsi panic button adalah untuk kegunaan orang ramai yang berada di dalam kecemasan dan ia dikawal di PCC yang akan bertindak menghulurkan bantuan kepada pengadu mengikut keperluan mereka dan menghantar pasukan penguatkuasa untuk membantu mereka,” katanya.

Jelas Mohd Musabri lagi, seiring dengan kecanggihan teknologi, panic button juga boleh dipantau melalui aplikasi mudah alih melalui telefon pintar.

“Warga Putrajaya boleh menggunakan ‘mobile app’ ini sekiranya berlaku kecemasan dan boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.

“Sekiranya ada penduduk atau anak-anak mereka dalam kecemasan, mereka boleh menekan panic button itu melalui mobile aps, maka ibu bapa, adik beradik dan Bilik Koordinasi akan mendapat maklumat sekali gus membolehkan bantuan segera disalurkan,” katanya.

Selain itu, PCC juga dilengkapi Sensor Internet of Thing (IoT) yang digunakan untuk mengesan kualiti alam sekitar termasuk mengesan pencemaran kualiti air tasik, paras air, kadar hujan, suhu, halaju angin, ketinggian paras air dan kerosakan pada fasiliti.

“Sekiranya berlaku tumpahan benda asing ke dalam tasik, sensor akan bertindak dan menghantar isyarat ke PCC untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Mohd. Musabri, PCC dilengkapi dengan Bilik Koordinasi yang lengkap dengan sistem paparan berdefinisi tinggi dan alat-alat komunikasi berkualiti tinggi.

“Demi memastikan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan penduduk dan pengunjung ke Putrajaya, PCC beroperasi 24 Jam sehari, tujuh hari seminggu dengan diketuai seorang komandan dan dibahagi kepada tiga jadual waktu bekerja.

“Kesemua pemantauan CCTV diramakam pada setiap masa dan ini membolehkan pihak berkuasa melaksanakan koordinasi serta merancang pelan keselamatan sekiranya berlaku bencana atau krisis di Putrajaya.

Malah semua agensi yang terlibat akan menggunakan kemudahan di PCC semasa berlaku bencana atau krisis,” jelasnya.

Jelas Mohd. Musabri lagi, kemudahan yang terdapat di PCC ini adalah melibatkan paparan VideoWall menggunakan LED dengan spesifikasi Fine Pitch LED 1.5 mm selain Centralize Electronic Bulletin Board digunakan bagi menghantar mesej-mesej keselamatan dan makluman kepada orang awam.

Semua maklumat di PCC turut diguna sama pelbagai agensi seperti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hospital Putrajaya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas