Selebriti

“Saya sudah mula yakin dengan diri” – Neeta Manisha

NEETA MANISHA
NEETA MANISHA, penyanyi muda yang berbakat.
- Diterbit 26 September 2019 10:35 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

BIARPUN hampir tujuh tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian, namun vokalis kumpulan I Am Neeta, Neeta Manisha, 25, mengakui dia baru sahaja berani dan yakin untuk lebih menonjolkan diri berbanding sebelum ini.

Semuanya gara-gara bimbang dirinya tidak mampu menjadi idola kepada peminat terutamanya golongan remaja di luar sana. Pun begitu persepsi tersebut semakin terhakis apabila dia terpilih untuk menyertai program realiti Big Stage musim kedua.

“Biarpun sebelum ini sudah dikenali namun saya tidak suka terlalu mendapat publisiti kerana tidak yakin mampu menghadapinya dengan baik. Ketika ditawarkan untuk menyertai program ini, saya sempat berfikir sama ada ingin menerima atau sebaliknya.

“Atas nasihat ahli kumpulan yang lain, saya bersedia untuk menerima. Dalam masa yang sama, saya akui telah tiba masanya untuk membuang segala perasaan takut tersebut dan pergi jauh dalam bidang nyanyian,” ujarnya.

Menurutnya lagi, program tersebut merupakan landasan yang tepat untuk dirinya bertapak kukuh dalam industri hiburan sementelah nyanyian merupakan sesuatu yang amat dicintainya sejak kecil lagi.

Pernah mencatat sejarah apabila muncul sebagai artis berkumpulan popular laman YouTube yang dilamar untuk membuat album di bawah syarikat rakaman, NAR Records, Neeta kini fokus untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam Big Stage.

Bakal berentap untuk semi final pada konsert minggu ketujuh bersama enam lagi peserta lain, penyanyi kecil molek ini sedang mempersiapkan persediaan dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi konsert hujung minggu ini.

“Latihan semua berjalan lancar cuma saya perlu lebih menjaga kesihatan kerana keadaan cuaca yang berjerebu berisiko diserang batuk dan demam. Jadi, saya lebih banyak duduk di rumah sahaja,” ujarnya.

Tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi pada konsert tersebut, Neeta mengakui apa sahaja keputusan yang diterima, dia sudah cukup berpuas hati dengan pencapaian dirinya sejak dari minggu pertama lagi.

“Saya sudah mencuba yang terbaik dan pada pandangan saya peserta yang lain juga tidak kurang hebatnya. Apapun saya gembira kerana berpeluang bersama-sama menimba pengalaman,” ujarnya yang baru sahaja melancarkan single terbaharu, Ruang Mimpi.

Bukan Melayu

Gara-gara wajah serta percakapannya yang persis Melayu, ramai yang menyangka penyanyi kelahiran Kedah ini berbangsa Melayu. Sudah terbiasa dengan hal tersebut, dia hanya tergelak bila berada dalam situasi itu.

“Saya adalah kacukan Cina, India dan Siam. Dibesarkan ditengah-tengah masyarakat Melayu di Sungai Petani, Kedah merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya fasih berbahasa Melayu,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang ahli kumpulannya, menurut Neeta, buat masa ini, mereka sibuk menguruskan hal peribadi masing-masing yang mana Anas Zakwan baru sahaja melanjutkan pelajaran ke Rusia sementara Patrick Anohada pula baru sahaja bertunang dan sedang merancang untuk berkahwin.

“Biarpun kami semua punya komitmen tersendiri namun itu tidak bermakna kami akan membawa haluan masing-masing. Cuma sekarang saya lebih banyak bergerak sendiri kerana terlibat dengan Big Stage,” ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak pernah terfikir untuk membubarkan kumpulan yang telah tujuh tahun bersama-sama menemani suka duka perjalanannya dalam industri seni yang penuh dengan cabaran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas