Berita

Syarul Mike fokus harumkan nama Malaysia

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah
- Diterbit 13 Februari 2020 9:35 AM MYT

PUTRAJAYA – Atlet bina badan, Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah atau lebih dikenali sebagai Syarul Mike menjadikan pingat Kesatriaan Mangku Wilayah (KMW) yang diterima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) baru-baru ini sebagai penyuntik semangat untuk dirinya memberikan kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

“Saya cukup terharu dan berbangga atas penganugerahan tersebut. Ia membuktikan banyak pihak yang menghargai pengorbanan saya dalam arena sukan bina badan.

“Dalam masa sama, ia menjadi pendorong buat saya untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” ujar juara Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia empat kali berturut-turut ini.

Bakal beraksi pada kejohanan peringkat asia dan dunia pada September dan November ini, Syarul Mike kini sedang dalam persiapan jangka masa panjang.

“Latihan seperti biasa memandangkan kejohanan tersebut lambat lagi dan saya juga masih menanti jawapan daripada Persatuan Bina Badan Malaysia.

“Pun begitu, pada Mei ini kemungkinan besar saya akan turut serta dalam satu pertandingan di India, cuma masih menunggu keputusan sahaja. Jika diarahkan saya akan mula menjalani diet ketat pada penghujung bulan ini,” ujarnya.

Tambahnya, untuk kejohanan yang bakal disertai pada masa akan datang, dia amat mengharapkan bantuan penajaan daripada pihak-pihak luar untuk membantu proses diet yang akan dijalaninya.

“Kos pemakanan diet menelan belanja agak besar hingga cecah ribuan ringgit termasuklah suplemen dan sebagainya. Jadi saya amat berharap ada pihak yang sudi untuk membantu meringankan beban ini,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas