Berita

Semut bersarang dalam luka, Ibu tunggal patah bahu hilang punca rezeki

ATNAWATI menyerahkan sumbangan hamper kepada Marina semasa mengunjunginya baru-baru ini.
- Diterbit 13 Februari 2020 9:06 AM MYT

BANDAR TUN RAZAK – ‘Bagai jatuh ditimpa tangga’. Itu keadaan yang dihadapi Marina Mustapha, 41, apabila dia tidak mampu untuk berniaga selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, 26 Januari lalu.

Kemalangan tersebut mengakibatkan ibu tunggal kepada enam orang anak itu patah bahu kiri dan mengalami luka.

Lebih menyayat hati apabila sehingga kini, namanya tidak tersenarai dalam permohonan untuk memasukkan besi pada bahagian patah berkenaan malah luka yang dialami pula dihurungi semut.

Keadaan itu menyebabkan dua orang anaknya iaitu Nur Zulaika Zulfadhli, 21, dan Nur Zulfadhlina, 20, menangguhkan latihan industri bagi mengambil alih tugas menguruskan keluarga serta empat lagi adik, Nur Zulbadrisyia, Nur Zulhadirah, Muhamad Zulnabil serta Muhammad Zulrayyan yang masih bersekolah.

Juruaudit Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Nur Hayati Abd. Wahab berkata, bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit, pihaknya melalui Skuad Ziarah Cakna Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi menjengah tempat tinggal mereka di Projek
Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini baru-baru ini.

“Kita menghulurkan bantuan dari segi barangan keperluan dan wang tunai di samping memberi sokongan moral kepada Marina dan anak-anaknya terutama Muhamad Zulnabil dan Muhammad Zulrayyan yang belajar di SK Sungai Besi.

“Pada masa sama, kita juga memastikan supaya anak-anaknya yang masih bersekolah dapat meneruskan sesi pembelajaran selain membantu mendapatkan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Nur Hayati, selain Marina dan anak-anaknya, Skuad Ziarah Cakna SK Sungai Besi turut menziarahi seorang lagi murid, Mohamad Hashraf yang tinggal bersama datuk dan neneknya.

Ujarnya, keadaan Mohamad Hashraf juga perlu diberi perhatian kerana tinggal bersama datuk dan nenek yang sudah uzur malah datuknya mengidap kanser.

Pada program itu, Guru Besar SK Sungai Besi, Atnawati Abu Hanifah dan Guru Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), S. Mahendran mengetuai Skuad Ziarah Cakna ke kedua-dua buah rumah berkenaan.

Program tersebut juga mendapat kerjasama Yang Dipertua PIBG, Mohamad Hazni Md.
Hamzah serta ahli jawatan kuasa PIBG dan Pegawai Khas Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar Pudu (PPDBP), Nurhuda Mat Ralip.

Ziarah Cakna merupakan program anjuran Kementerian Pendidikan yang menyasarkan keciciran sifar bagi murid sekolah rendah dan memastikan mereka menyambung pelajaran ke tingkatan 1 selepas tamat Tahun 6.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas