Berita

Labuan dikawal ketat dari jalan udara, laut kekang Covid-19

KAPAL-KAPAL yang ingin berlabuh di Labuan akan diperiksa terlebih dahulu oleh pasukan Jabatan Kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 13 Februari 2020 9:55 AM MYT

LABUAN – Jabatan Kesihatan Labuan mengambil langkah ketat dalam membuat saringan ke atas pengunjung memasuki ke pulau ini melibatkan jalan udara dan laut bagi mengekang penularan wabak coronavirus 2019 (Covid-19).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismuni Bohari berkata, pihaknya menyediakan tiga pasukan iaitu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, kawasan Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan kapal-kapal yang ingin berlabuh di perairan Labuan.

DR. ISMUNI BOHARI

”Kita membuat pemeriksaan kru kapal yang berlabuh di sini, kita sudah ada Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu syarat dengan Jabatan Laut, sebelum kapal-kapal berlabuh mesti dapat pelepasan daripada kami (Jabatan Kesihatan).

”Setiap hari ada tiga hingga empat buah kapal, kita akan semak satu persatu-persatu termasuk individu dalam kapal,” katanya kepada Wilayahku sambil menunjukkan gambar-gambar beliau bersama anggota pasukannya menaiki sebuah kapal untuk membuat pemeriksaan baru-baru ini dengan mengenakan pakaian khas.

Ismuni yang juga pakar perunding perubatan pencegahan berkata, beliau sendiri turun padang untuk membuat pemeriksaan di atas kapal-kapal dan menentukan sama ada kru mereka boleh memasuki kawasan daratan atau sebaliknya.

”Kuasa memang di tangan kita untuk menentukan sama ada mereka boleh dibenarkan turun, dikuarantin atau minta pergi terus dari Labuan, bergantung kepada keadaan,” tegasnya.

Ismuni berkata, setakat ini Labuan tidak mempunyai kes penularan virus berkenaan namun pihaknya telah membuat persiapan termasuk melakukan latihan serta menyediakan kawasan tertentu dan ambulans.

”Coronavirus ini pelik sedikit kerana kadang-kadang tidak demam, jadi kita kena periksa satu persatu supaya tidak terlepas.

”Kita sudah sedia ada satu kawasan tertentu dan buat ‘mock’ seperti pengendalian dari klinik swasta, semua kita sudah buat percubaan,” jelasnya selain mempunyai pelan sendiri dari segi pergerakan pesakit, pemantauan dan pengasingan.

Kata beliau, pihaknya telah meletakkan standard negeri di mana setiap pesakit perlu mengikuti piawaian yang ditetapkan dan kawalan sekiranya ada kejadian kes positif Covid-19.

”Kita sudah letakkan standard dan semua sedia maklum apa yang perlu dilakukan, Insya-Allah Labuan tidak ada (Covid-19),” katanya. – WILAYAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas