Berita

Syameer kejar impian jadi pengarah filem

SYAMEER
- Diterbit 13 September 2019 9:25 AM MYT

SETIAP orang pastinya mengimpikan untuk melakukan 1,001 perkara yang digemarinya walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran.

Bagi Mohamed Ami­rul Syameer Mohd. Yusof, 29, berkecimpung dalam dunia perfileman dan kreatif serta pengurusan acara merupakan impiannya walaupun pada awal minatnya tidak mendapat restu bapanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) ini mengakui jalan hidupnya agak berwarna-warni kerana mempelajari beberapa kursus profesional.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ditawarkan belajar di Asasi Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Petani, Kedah.

“Walaupun mendapat keputusan yang bagus, saya ambil keputusan berpindah ke MSU, Shah Alam dalam bidang Sains Kesihatan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Ceritanya, ketika berada di latihan amali di unit kecemasan sebuah hospital awam, dia sering menemui pesakit yang kesal dengan keadaan mereka.

“Ada seorang pesakit yang sedih kerana masih banyak impian dan cita-cita yang belum tercapai kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan mereka,” katanya.

Kata Mohamed Amirul Syameer, keadaan itu menyedarkan dirinya bahawa dia perlu mencapai impiannya untuk berada dalam dunia seni dan kreatif berbekalkan minatnya terhadap bidang fotografi.

“Akhirnya saya diterima bekerja di sebuah syarikat produksi dan diberi peluang menimba ilmu pengarahan dan pembikinan skrip filem bersama pengarah M. Subash,” katanya.

Tambah Mohamed Amirul Syameer, dia pernah mengarahkan iklan komersial yang disiarkan di laman sosial selain terlibat menerbitkan lebih 200 iklan dan Vlog serta video pendek.

Katanya, antara perkara yang diingati sepanjang pembabitannya dalam dunia seni ini ialah melakukan kerja secara solo untuk sebuah iklan di media sosial berkonsepkan filem terkenal Amerika ‘The God Father’.

“Ketika itu, tidak ramai kakitangan, saya terpaksa menulis skrip, mengarah, menyunting dan mencari pelakon seorang diri.

“Syukurlah kerana pelanggan menyukainya sehingga mendapat lebih 100,000 tontotan,” katanya.

Anak sulung dari dua adik beradik ini berkata, zaman serba canggih ini merupakan peluang keemasan untuk mempelajari banyak perkara kerana ia berada di hujung jari sahaja.

“Sekiranya hendak belajar suntingan video, kita hanya perlu buka laman YouTube dan boleh belajar dengan mudah tanpa perlu menghadiri kelas.

“Hanya satu impian saya yang masih belum tercapai iaitu mengarah filem karya sendiri dan berharap saya dapat merealisasikannya,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas