Berita

Floria kekal di Taman Botani

KHALID (belakang, tengah) bersama Aminuddin bergambar bersama petugas-petugas yang menjayakan Floria Diraja Putrajaya 2019 di Taman Botani, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 13 September 2019 9:38 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA – Penganjuran Festival Floria Diraja Putrajaya (RFP) 2019 di tapak lokasi baharu di Taman Botani Putrajaya baru-baru ini berjaya menarik kira-kira 150,000 pengunjung sekali gus menyaksikan pening­katan berbanding edisi tahun lalu seramai 110,000 orang.

Menteri Wilayah Persekutuan­, Khalid Abd. Samad ber­kata, lokasi tersebut dikekalkan bagi penganjuran pada tahun hadapan yang bakal mengetengahkan pa­meran orkid dan bromeliad.

“Selepas 10 tahun bertapak dan berkampung di Anjung Floria, Presint 4, buat julung-­julung kali RFP 2019 dapat mengoptimumkan perbelanjaan kerana mempunyai bangunan dan infrastruktur sedia ada untuk penganjuran acara-acara sampingan, ke­sinambungan penyelenggara­an serta keperluan menaik taraf hardscape, sooftscape dan reka bentuk landskap selain mem­promosikan taman bertema sedia ada,’’ katanya pada majlis penutup Festival Floria Diraja Putrajaya (RFP) 2019 baru-baru ini.

Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
Khalid berkata, pening­katan jumlah pengunjung tersebut menunjukkan soko­ngan oleh seluruh rakyat terhadap RFP 2019 sebagai satu-satunya pameran bunga dan taman bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, festival pada kali ini berjaya menggabung­kan 70 pameran taman pelbagai tema dan reka bentuk unik.

“Sebagai kesinam­bungan­ Festival RFP bagi tahun seterus­nya, saya menggesa semua peserta agar terus bekerjasama dengan semangat setia kawan yang tinggi, kreatif dan berinovasi agar dapat memberikan fokus kepada intensifikasi produk industri hortikultur landskap di ne­gara ini,’’ kata­nya.

Khalid berkata, festival berkenaan merupakan acara berprestij dalam industri pelancongan negara dan penganjuran tahun ini me­rupakan bukti kegigihan serta komitmen Perbadanan Putra­jaya dengan sokongan kementerian, Jabatan Landskap Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Ini bagi menjadikan Festival RFP tersenarai sebagai salah satu acara utama dalam kalender acara tahunan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi sektor pelancongan,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas