Berita

Khalid arah penganjur ambil tindakan sekiranya DBKL salah

KHALID SAMAD
KHALID
- Diterbit 13 September 2019 8:51 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menggesa penganjur atau mana-mana pihak mengambil tindakan tegas ke atas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya mendapati agensi itu melakukan salah laku selepas menurunkan banting Himpunan Penyatuan Ummah yang dipasang secara berlebihan.

Ini kerana, tegas beliau, berdasarkan kelulusan yang diberikan agensi berkenaan, hanya 150 unit banting yang dibenarkan dipasang dan diiklankan di tiang lampu di lokasi tertentu yang telah disenaraikan secara khusus bermula 6 hingga 15 September ini.

Jelas beliau, penurunan banting berkenaan adalah disebabkan ia dipasang di luar lokasi yang diluluskan dan melanggar syarat serta prosedur yang ditetapkan.

“Jika terbukti tindakan DBKL tidak sah serta bertentangan dengan peraturan, DBKL harus bertanggungjawab dan tindakan tatatertib harus dikenakan. Tiada siapa yang kebal atau mengatasi undang-undang dan peraturan. Ini Malaysiaku Bersih.

“Semua pihak sama ada penganjur mahupun pihak berkuasa perlu bertanggungjawab mematuhi peraturan, syarat dan prosedur. Mana-mana pihak yang terkilan boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khalid sekali lagi menegaskan bahawa, tindakan yang dilakukan DBKL itu bukan untuk mengguris hati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana pihak sebaliknya berasaskan peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Beliau dalam itu turut mempersoalkan kenapa individu-individu terbabit tidak memuji DBKL yang tidak mengenakan bayaran bagi a50 unit banting berkenaan.

Terdahulu DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan penurunan 295 unit banting Himpunan Penyatuan Ummah adalah disebabkan melanggar syarat yang ditetapkan iaitu memasangnya di luar kawasan yang dibenarkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas