Berita

Rahimy ungguli perlumbaan

RAHIMY bergambar kenangan sebelum memulakan perlumbaan.
- Diterbit 12 Disember 2019 4:23 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PENAMPILAN sulung pelumba kereta muda, Ady Rahimy di Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) pada April lalu membawa kenangan manis apabila dia memenangi Perlumbaan Kelas 2 S Production (SP2).

Rahimy, 20, berjaya melengkapkan 21 pusingan dalam perlumbaan ketahanan satu jam yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menyifatkan kemenangannya itu sebagai rezeki, dia nekad untuk bekerja lebih kuat dan bersedia mempamerkan aksi terbaik bagi membanggakan keluarga.

“Saya seorang yang bersemangat dan mempunyai minat yang sangat mendalam. Jika saya berminat dengan sesuatu, saya akan berusaha sehabis baik,” ujarnya.

IBU Bapa Rahimy sentiasa ada menyokong kerjayanya.

Berkongsi tentang dunia permotoran, Rahimy mengakui tanpa pasukan, Hi-Rev SIC Dream Chaser pada tahun ini, pasti dia tidak mampu memenangi dua perlumbaan tersebut.

“Tanpa penat lelah mereka dan kereta lumba yang diubah suai dengan baik, sudah pasti saya tidak akan berjaya dalam perlumbaan itu,” ujarnya yang berbesar hati kerana diberi peluang untuk mengemudi.

Berkongsi memori indah, dia bangga apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah atlet terbaik Sukan Permotoran SIC pada Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Petronas SIC 2018.

“Itulah permulaan yang bersinar sekali gus saya terpilih untuk berlumba di MCS bersama pasukan lumba Hi-Rev SIC Dream Chaser,” ungkap atlet berasal dari Selangor ini.

RAHIMY sentiasa memastikan pemanduannya lancar.

Dia yang mula berlumba sedari umur enam tahun pernah menangguhkan penglibatan kerana melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh, Sultan Alam Shah (SAS).

Berpendapat bidang akademik perlu seiring dengan kokurikulum, sewaktu di SAS, dia aktif dalam sukan golf dan berjaya membawa nama sekolah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Semua pelajar perlu menggiatkan diri dalam aktviti-aktiviti luar kuliah kerana dapat memberikan banyak faedah. Selain faktor kesihatan, ia dapat mengasah bakat kepimpinan,” ujar pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya ini.

Warisi bakat bapa

Merupakan anak kepada pelumba kereta berjaya, Rahimy mula berlumba dengan menggunakan motosikal kecil yang dikenali sebagai ‘minibike’.

“Setelah selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat lesen kereta, saya kembali dalam bidang permotoran dan melibatkan diri dalam perlumbaan empat roda pula.

RAHIMY (tengah) selepas memenangi perlumbaan kelas 2 S Production April lalu.

“Bagi membantu mempercepatkan diri mempelajari teknik-teknik pemanduan yang betul, saya menyertai kelas lumba yang diajar syarikat ayah iaitu Split Second Advanced Driving (SSAD).

“SSAD menggunakan medium “simulator” sebagai alat untuk mengajar cara dan teknik yang betul yang perlu dipraktikkan pemandu bukan hanya untuk berlumba sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, setelah memasuki kelas lumba, dia didedahkan dengan perlumbaan ‘go-kart’ dan berjaya memperoleh beberapa kemenangan.

“Selepas itu, saya mula menyertai kejohanan ‘time attack’ di litar-litar kecil seperti Elite Speedway Circuit, Melaka International Motorsport Circuit dan Dato Sagor Circuit.

“Pertandingan seperti ini agak mencabar kerana litarnya yang agak kecil membuatkannya lebih sukar. Walaupun begitu, saya berjaya memenangi beberapa pertandingan yang dianjurkan pelbagai pihak,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas