Agama

Aib golongan asnaf sebagai content dalam media sosial

|PERKONGSIAN Ustaz Yaakub tentang golongan asnaf dijadikan content media sosial mendapat sokongan positif ramai netizen.|||MESIN ATM beras yang disediakan MADAD kini boleh dimanfaatkan oleh masyarakat negeri Kedah. MADAD merancang mahu mengembangkan ATM beras ke seluruh Malaysia.
- Diterbit 25 November 2021 2:18 AM MYT

TANGAN yang memberi itu mendapat kredit manakala yang menerima itu mendapat malu, satu situasi yang acapkali berlaku kepada golongan asnaf.

Kesusahan mereka dipamer dan maruah mereka dijaja sebagai content atau isi kandungan media sosial oleh sesetengah pihak yang kurang bertanggungjawab tanpa memikirkan kemungkinan yang terpaksa dihadapi mereka terutamanya tekanan dari keluarga.

Meskipun golongan ini wajar diberikan perhatian dan diuar-uarkan kewujudan mereka dalam masyarakat, namun itu tidak bererti aib mereka sewenangnya dijaja.

Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) yang terletak di Sungai Petani, Kedah, Ustaz Yaakub Yusra Mohd Yusoff menyentuh hal ini dalam sebuah video di Facebook miliknya.

“Saya nak tanya, puan suka ke kalau gambar mak, ayah dan adik beradik kita orang publikkan untuk content mereka? Iya… untuk memberi bantuan, tapi point itu mengaibkan,” tanya Ustaz Yaakub kepada seorang wanita yang bertanya dalam video tersebut.

Wanita tersebut menjawab tidak mahu hal sebegitu kepada keluarganya.

“Jadi, saya rasa itu jawapan untuk semua. Saya yakin orang susah pun tak suka dimalukan, diaibkan, tetapi kadang-kadang mereka terpaksa.

“Iya, Islam mengajar tangan yang baik lebih baik daripada tangan yang menerima, tetapi janganlah yang memberi dapat kredit, yang menerima dapat malu atau aib. Mereka juga ada maruah.

“Sebab tu kita tengok, seluruh manusia di dunia tidak suka diaibkan atau dimalukan. Jadi kita harap semua orang berhati-hati, ambil pengajaran.

“Memberi tidak salah, tetapi janganlah memberi sampai mengaibkan orang lain,” ujar Ustaz Yaakub lagi.

Perkongsian video Ustaz Yaakub berhubung topik aib golongan asnaf yang dimuat baik Sabtu lalu itu, mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga menjadi tular di Facebook dan Twitter.

PERKONGSIAN Ustaz Yaakub tentang golongan asnaf dijadikan content media sosial mendapat sokongan positif ramai netizen.

Menerusi video berdurasi 2 minit 24 saat itu juga, Ustaz Yaakub menunjukkan cara-cara menggunakan mesin ATM beras, Rice for Asnaf yang dicipta oleh MADAD khusus untuk golongan berkenaan, sebelum disapa pertanyaan oleh seorang wanita yang mengajukan soalan apabila golongan asnaf dipergunakan sebagai content.

“Allahu, video ATM Beras beberapa hari lepas dapat banyak reaksi (dalam media sosial) yang saya sendiri pun tak jangka.

“Bukan view yang dicari tapi manfaat daripada perkongsian untuk ummah,” ujarnya lagi.

Ustaz Yaakub berkata, ATM beras yang boleh menampung sehingga 250 kilogram beras ini senang digunakan dengan hanya mendaftar dan boleh mendapatkan beras yang disediakan setiap hari.

“Untuk ATM beras ni, simple sahaja. Tuan-tuan boleh dapatkan di kawasan tedekat seperti di MADAD dan di masjid-masjid tertentu yang akan kita letakkan secara percuma. Tak ada apa-apa kos atau bayaran.

“Tuan-tuan hanya perlu berdaftar dengan imam atau orang yang diberi kuasa. Dapat saja kad, tuan-tuan boleh touch (pada mesin ATM beras) dan setiap hari boleh ambil.

“Ada yang tanya, macam mana nak tolong. Tak perlu keluarkan duit. Yang mampu hantar beras, yang tak mampu pergi ambil beras.

“Saya yakin Allah jadikan ada orang yang berkemampuan dan ada orang yang tak mampu. Jangan buat perangai ‘hodoh’ (tak elok), ada yang mampu tapi ambil beras.

“Ingat mahkamah Allah yang perlu kita bentang. Setiap nasi yang kita makan daripada hak orang, akan ada jawapan yang perlu kita bentangkan di hadapann Allah.

“Jadi doakan agar mesin ATM beras MADAD dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada semua orang agar kita mampu bawa sifar orang di seluruh Malaysia dan dunia,” jelasnya lagi.

MESIN ATM beras yang disediakan MADAD kini boleh dimanfaatkan oleh masyarakat negeri Kedah. MADAD merancang mahu mengembangkan ATM beras ke seluruh Malaysia.

Buat permulaan, ATM beras yang disediakan oleh MADAD ini boleh dimanfaatkan oleh penduduk Kedah.
Antara kawasan yang diletakkan ATM beras ini adalah ADZ Edar, Surau Taman Malinja, PKWR Kuala Ketil, Masjid Taman Keladi, KRT Taman Sinar Mentari, Masjid Kuning, Masjid Taman Ria, PKWR Merbok, Masjid Taman Ria Jaya dan Masjid Muzaffar Shah.

Pihak MADAD bercadang mahu memperluaskan ATM beras ke seluruh Malaysia pada masa akan datang.

Kepada golongan asnaf yang berminat, boleh daftar sebagai pemegang kad ATM beras ini. Boleh hubungi di talian 013 861 9091 atau layari madadcentre.com. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas