Berita

Susur keluar mengelirukan

KEADAAN jalan yang gelap menyukarkan pemandu melihat persimpangan dan membahayakan nyawa.
KEADAAN jalan yang gelap menyukarkan pemandu melihat persimpangan dan membahayakan nyawa.
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:08 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Mengeliru­kan. Keadaan laluan di Lingkaran Putrajaya, E6 (Elite) menghala Pusat pentadbiran rasmi kerajaan di sini sering menjadi punca beberapa pengguna jalan raya terbabas dan kemala­ngan.

Ini kerana, di jalan lurus lima lorong dari arah susur keluar Lebuhraya Maju Expressway (MEX) terdapat beberapa persimpangan yang menghala ke lokasi lain seperti laluan alter­natif ke Cyberjaya atau Dengkil, Selangor dan satu lagi ke arah Kuala Lumpur. Di susur menghala Kuala Lumpur itu terdapat juga persimpangan meng­hala ke Puchong, Shah Alam, Selangor.

Lebih membahayakan apabila pada waktu malam, lampu jalan di kawasan tersebut tidak berfungsi dan penggunanya pula sering memandu laju.

Tinjauan Wilayahku sejak awal Januari lalu mendapati lampu jalan ber­kenaan tidak pernah menyala sekali gus menambah risiko kemalangan.

Selain itu, pengguna yang melaluinya juga keliru kerana tiada papan tanda yang menunjukkan arah laluan dalam jarak 500 meter me­lainkan perbezaan garisan dalam jarak 50 meter dari­pada jalan utama.

Papan tanda arah hanya dilihat selepas pengguna memasuki persimpangan yang menghala Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
Menurut seorang pengguna, Mohd. Khairie Khalid, pemandu kenderaan sangat terdedah kepada risiko kemalangan maut pada waktu malam.

Ini kerana, jelasnya, laluan berkenaan gelap dan pengguna tidak dapat melihat dengan jelas persimpangan yang ada disebabkan lampu jalan tidak menyala.

Sehubungan itu, dia menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan kemala­ngan maut berlaku.

“Pihak berwajib sepatut­nya memasti­kan lampu jalan menyala kerana dari awal tahun lagi, jalan ini gelap. Ada tiang lampu tetapi kawasan gelap.

“Papan tanda sepatutnya lebih jelas dan diletakkan di kawasan yang mudah dilihat pengguna seperti dalam jarak 500 meter supaya pengguna tidak keliru dan tiba-­tiba menukar lorong di saat akhir sehingga membahayakan nyawanya dan pengguna yang lain,” ujar­nya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Seorang lagi pengguna, Mohd. Faiz Marzuki, 34, dia hampir merempuh pembahagi jalan di susur keluar menghala Cyberjaya kerana keliru dengan persimpa­ngan berkenaan.

“Jalan ini sangat mer­bahaya kepada pengguna baru kerana mereka akan keliru dengan laluan sama ada perlu berada di paling kanan atau lorong kiri untuk ke arah Cyberjaya.

“Saya pernah melihat beberapa buah kereta memandu laju di laluan meng­hala Putrajaya dan tiba-tiba membelok ke arah susur keluar ke Cyberjaya. Mereka hampir merempuh pem­bahagi jalan,” katanya.

Tambah Mohd. Faiz, dia juga pernah melihat be­berapa insiden yang hampir menyebabkan pelanggaran berlaku berikutan terdapat kenderaan dari arah Cyberjaya tiba-tiba membelok untuk ke laluan Lingkaran Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas