Berita

Malaysia tidak boleh bersandarkan tuah

AKSI pemain beregu negara
AKSI pemain beregu negara
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:06 AM MYT

KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara berdepan tugas sukar untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland bermula 19 Ogos ini apabila diundi berdepan sesama sendiri di peringkat awal.

Malaysia meletakkan sandaran terhadap 12 taruhan dalam edisi kali ini, termasuk empat wakil profesional.

Majlis undian di ibu negara baru-baru ini menyaksikan pertemuan sesama wakil Malaysia dijangka berlaku se­awal pusingan kedua membabitkan beregu lelaki, Goh V. Shem-Tan Wee Kiong, yang mendapat laluan percuma, dengan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Sementara itu, dalam acara beregu campuran pula, Goh Soon Huat-Shevon Lai diramalkan untuk bertemu pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, seandainya melepasi pusingan pertama.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, dia menga­kui Malaysia tidak boleh mengharapkan tuah semata-mata dalam usaha untuk memastikan wakil negara ke separuh akhir.

“Buat masa ini, kami tidak mempunyai masa untuk melakukan analisis secara mendalam.

“Namun, sasarannya tetap sama. Kami hanya perlu mengatasinya. Tiada apa akan datang dengan mudah, selagi kami bersemangat, sentiasa ada peluang untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Tahun lalu, perseorangan lelaki profesional, Liew Daren, mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa kejohanan itu walaupun menjadi wakil tunggal negara dalam acara berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas