Berita

PPj raih 3 emas di RTEx Wilayah Utara

PESERTA Rtex tidak melepaskan peluang bergambar kenangan selepas dinobatkan sebagai pemenang bagi tiga kategori.
PESERTA Rtex tidak melepaskan peluang bergambar kenangan selepas dinobatkan sebagai pemenang bagi tiga kategori.
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:10 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) berjaya mencapai sasaran apabila menggondol tiga pingat emas di Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara (Rtex) 2019 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Pengurusan Strategik, Jabatan Perkhidmatan Korporat PPj, Ahmad Azuddin Arshad berkata, konvensyen tersebut berjaya menyerlahkan potensi peserta dalam menghasilkan kreativiti dan inovasi yang bertepatan dengan penilaian barisan panel penilai profesional.

Ujar beliau, PPj diwakili Kumpulan OSCXpert gabungan Jabatan Perancangan Bandar dan Jabatan Perkhidmatan Korporat; Kumpulan X-10 dari Jabatan Perkhidmatan Korporat serta Kumpulan K-Max dari Jabatan Perkhid­matan Bandar.

“Kumpulan OSCXpert telah membangunkan Sistem OSC 3.0 yang memudahkan pemantauan fasa pembangunan projek di Putrajaya. Sistem ini telah diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan dicadangkan untuk dipanjangkan penggunaannya ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kumpulan X-10 pula telah mencipta Smart Trolley yang berkemampuan menarik beban sebanyak 800 kilogram. Alat ini digunakan untuk mengangkut peralatan seperti kerusi dan meja sekali gus mampu menjimatkan lebih 50 peratus masa kerja yang digunakan sebelum ini dan secara keseluruhan mampu meningkatkan hasil,” katanya.

Menurut Ahmad Azuddin, kumpulan K-Max turut berjaya menghasilkan produk yang boleh mengenal pasti dan membezakan antara beg biodegradasi dan beg konvensional semasa rutin penguatkuasaan dilaksanakan.

RTEx 2019 Wilayah Utara disertai lebih dari 60 kumpulan yang mewakili agensi kerajaan dan swasta dengan majlis penyampaian sijil dan anugerah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas