Berita

Suspek wanita ditahan atas penipuan atas talian

GAMBAR HIASAN
- Diterbit 18 Jun 2020 9:59 AM MYT

Oleh: Khairul idin
[email protected]

SEORANG wanita tempatan berusia 31 tahun dikenalpasti sebagai suspek kes penipuan transaksi atas talian sebuah page Facebook “ Ifix Smartphone Labuan”.

Ia susulan aduan yang diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan pada 15 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Annual Kanari berkata, pihak Penguatkuasa KPDNHEP telah mendapati bahawa premis tersebut tidak wujud dan maklumat yang diperolehi dari institusi perbankan mendapati nombor akaun yang digunakan telah didaftarkan penama yang beralamat di Labuan dan suspek telah diminta ke Pejabat KPDNHEP untuk memberikan keterangan.

“Hasil keterangan, suspek didapati telah menjadi keldai akaun yang melibatkan tiga buah akaun yang berbeza dan suspek telah berhubung dengan seseorang melalui Facebook Messenger.

“Suspek menerima setiap transaksi yang masuk ke akaun sebanyak RM40 hingga RM100 sebagai komisen dan suspek diarahkan untuk menyalurkan wang tersebut ke akaun lain sepertimana yang diarahkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Annual berkata suspek hanya diberitahu bahawa setiap transaksi yang masuk merupakan hasil jualan “Bitcoin” dan suspek telah menjadi keldai akaun semenjak Oktober tahun lalu.

“Suspek menyatakan tidak tahu mengenai iklan penipuan jualan telefon bimbit di sebuah page Facebook,” ujar beliau.

Sementara itu, suspek telah dibawa ke Balai Polis Labuan pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Annual menasihati orang ramai agar tidak tertipu dengan pembelian atas talian dan menyelidik terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barang. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas