Berita

PKBM mungkin batal semua perlumbaan 2020

JELAJAH Lebuhraya Kebangsaan mungkin akan dibatalkan.
- Diterbit 18 Jun 2020 9:45 AM MYT

WALAUPUN Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) membenarkan aktiviti berbasikal termasuk kejohanan diadakan selepas 1 Julai, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah memutuskan untuk membatalkan Kejohanan Kebangsaan Lebuhraya yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula pada 22 Ogos depan.

PKBM mengambil keputusan membatalkan Kejohanan Kebangsaan Lebuhraya bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dari 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab mengakui semua kejohanan yang dijadualkan mengikut kalendar UCI tahun ini hampir pasti dibatalkan walaupun sesuatu kejohanan itu akan berlangsung selepas PKPP ditamatkan.

“Amat mustahil bagi mana-mana penganjur kejohanan untuk mempunyai masa serta dana yang mencukupi bagi melaksanakan sesebuah perlumbaan. Pembatalan sesebuah kejohanan atas dasar polisi yang ditetapkan oleh sesebuah kerajaan tidak akan menyebabkan PKBM didenda oleh UCI,” ujar beliau.

Mengikut kalendar UCI, selain Kejohanan Kebangsaan Lebuhraya, Malaysia dijadual menganjurkan tiga lagi perlumbaan pada bulan September dan Oktober iaitu Le Tour de Femina Malaysia, Jelajah Malaysia dan Tour of Peninsular.

Penganjuran kejohanan di bawah UCI turut memberi mata ranking kepada pelumba termasuk sekali pelumba negara yang menyertainya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas