Berita

Suspek sama pecah tabung surau di Putrajaya

SUSPEK yang mencuri duit dari tabung surau dirakam CCTV.
- Diterbit 2 Disember 2019 4:22 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Ke­jadian pecah tabung surau dilihat semakin berleluasa sejak Mei lalu berikutan 19 kejadian yang sama direkodkan berlaku secara berturutan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Lebih membimbangkan apabila beberapa buah surau dipecah masuk berkali-kali dalam tempoh satu minggu walaupun kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di se­kelilingnya.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan A1 Presint 11, Carlos Najmul Basri berkata, berdasarkan pola kejadian pecah tabung di surau dipercayai dilakukan oleh individu atau sindiket yang sama.

Ujar beliau, kejadian pecah tabung surau juga bukanlah kejadian baharu sebaliknya telah banyak kali berlaku.

“Oleh itu, jawatankuasa surau perlu memainkan peranan penting bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang seperti mengurangkan bilangan tabung kutipandi surau dan tidak meletakkannya di kawasan yang terdedah.

“Tabung derma sepatutnya diletakkan di dalam surau dan bukannya jenis ‘portable’ dan diperbuat daripada kayu atau bekas plastik manakala kutipan tabung dilakukan dengan lebih kerap,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Carlos Najmul, selain tindakan berjaga-jaga yang dilakukan jawatan kuasa surau, rondaan darpihak polis juga penting supaya penyamun takut untuk mengulangi kesalahan jenayah mereka.

Ujar beliau, CCTV yang dipasang juga sepatutnya berfungsi bagi membantu pihak polis mendapatkan gambar suspek supaya tindakan lanjut dapat dilakukan.

“CCTV sepatutnya membantu kerana terdapat di seluruh Putrajaya dan mempunyai pemantaunya tersendiri. Ia dipasang bukan untuk tujuan pencegahan tetapi membantu siasatan.

“Di sini kebanyakan surau tidak berpagar dan memerlukan rondaan yang kerap oleh pihak berwajib,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas