Berita

Kelab Tasik Putrajaya destinasi sukan air pilihan

ACARA Putrajaya Boat Race 2019 merupakan antara sukan air terbesar yang diadakan tahun ini.
- Diterbit 2 Disember 2019 4:18 AM MYT

DITUBUHKAN pada Februari 2002, Kelab Tasik Putrajaya (KTP) merupakan antara kelab sukan air yang terawal terdapat dalam wilayah Putrajaya. Berkonsepkan keahlian, kelab ini menyediakan kemudahan ahli-ahlinya menjalankan aktiviti sosial.

Pun begitu, seiring masa berlalu, ia menjadi destinasi pilihan untuk penganjuran sukan air peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sebagai contoh, Putrajaya Boat Race 2019 yang berlangsung pada September 2019 yang lalu.

Fasiliti sukan dan rekreasi yang lengkap menjadikan kelab tasik ini pusat latihan bagi aktiviti-aktiviti yang melibatkan sukan air antaranya kayak, rowing, perahu panjang, kolam renang dan sebagainya.

Tepian tasik adalah ruang terbuka menghadap Tasik Putrajaya boleh menempatkan 1,000 orang dalam satu masa dan ia sesuai digunakan untuk penganjuran sukan dan rekreasi air serta majlis-majlis besar.

SIMULATOR rowing merupakan antara kemudahan yang disediakan.

Menurut Pengurus Kelab Tasik Putrajaya, Azizan Baharom, bagi mendapatkan pelbagai keistimewaan, Kelab Tasik Putrajaya mengalu-alukan penyertaan sebagai ahli kelab. Setiap ahli yang berdaftar akan mendapat keistimewaan.

“Antaranya 20 peratus diskaun untuk makanan, tiada dikenakan caj sewaan tempat semasa membuat majlis, penggunaan bilik mesyuarat percuma, diskaun 50 peratus untuk aktiviti berkayak serta penggunaan bilik gim dan kolam renang khas untuk ahli sahaja dan pelbagai lagi.

“Ternyata keistimewaan yang diperoleh oleh ahli membuka mata banyak pihak yang mana sehingga 31 Disember 2018, kami telah pun mempunyai 950 orang ahli kelab termasuk dua orang ahli bukan warga negara,” ujarnya.

Dengan kadar sewaan yang berpatutan, di sini juga turut diadakan kelas renang dengan pakej menarik pada setiap hujung minggu yang dikendalikan oleh jurulatih bertauliah daripada Piranha Swimming Academy.

Selain kelas renang, kelas menyelam juga disediakan mengikut jadual yang ditetapkan serta dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman dari Professional Association of Diving Instructors (PADI).

KEMERIAHAN suasana majlis perkahwinan yang diadakan di tepian Tasik Putrajaya.

Selain itu, bayu lounge juga menjadi tumpuan pelanggan yang ingin mengadakan majlis perkahwinan, seminar, mesyuarat tahunan dan sebagainya. Kapasiti maksimum boleh menempatkan 110 orang dalam susunan meja bulat.

Terbaharu, Kelab Tasik Putrajaya menawarkan pakej hari keluarga bagi badan korporat dan juga kerajaan bermula dari harga RM 1,200. Antara fasiliti sukan yang disediakan CPR Briefing, Boling Kelapa, Water Confident, Acara Titi Pukul Batal dan banyak lagi.

Setiap fasiliti sukan yang disediakan mempunyai jurulatih tersendiri untuk mengawal selia serta memberi tunjuk ajar setiap aktiviti sukan yang dijalankan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas