Berita

Kumpulan ketiga SMKWP ditapis

ANTARA peniaga kecil yang mendapat bantuan pembiayaan daripada skim mikro kredit. ANTARA peniaga kecil yang mendapat bantuan pembiayaan daripada skim mikro
- Diterbit 18 Oktober 2021 1:53 AM MYT

SKIM Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) dengan nilai maksimum RM5,000 masih menerima sambutan menggalakkan, terutama daripada golongan peniaga kecil-kecilan.

Susulan permintaan yang tinggi, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) membuka permohonan baharu bagi kumpulan ketiga.

Pengurus Kanan Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama & Teknologi (P.E.S.A.T), Zahrulail Abdul Rahman berkata, sebelum ini, seramai 26 peniaga dari kumpulan satu dan dua telah mendapat manfaat SMKWP.

“Tahun ini, kita terima kira-kira 40 hingga 50 permohonan dan YWP sedang membuat tapisan lanjut sebelum meluluskannya.

“Antara kriteria kelayakan pemohon adalah yang dititikberatkan adalah, mereka mempunyai lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), ruang niaga dan jenis perniagaan asli,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Selasa.

Berkata lanjut, Zahrulail memberitahu, pihaknya akan membuat lawatan tapak ke premis terlibat sebelum meluluskan permohonan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

Jelasnya, ia bertujuan untuk memastikan pemohon patuh kepada syarat yang ditetapkan selain menjalankan perniagaan dengan sistematik.

Menurutnya, faedah yang dikenakan juga serendah lima peratus yang mana tiga peratus akan dipulangkan semula selepas tempoh pembiayaan tamat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya tidak merekodkan sebarang kelewatan bayaran daripada peminjam.

“Masalah yang dihadapi adalah daripada pihak kita. Apabila PKP, sukar untuk buat lawatan tapak, tetapi kini ia kembali lancar kerana sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya,” ujarnya.

SMKWP diperkenalkan pada Februari 2020, dengan bayaran balik serendah RM32 sebulan adalah untuk membantu usahawan kecil sedia ada dari kumpulan B40 mengembangkan perniagaan mereka.

Pemohon boleh mendapatkan borang secara atas talian di laman web YWP, https://www.yayasanwp.org/ atau talian 03 2698 3073/ 2073 untuk maklumat lanjut. -WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas