Berita

Suria KLCC sumbang RM20 ribu bantu mangsa banjir

SUMBANGAN telah disampaikan oleh Pengerusi Besar Suria KLCC, Ameer Thajudeen kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datin Paduka Dr Rohana Johan.
- Diterbit 5 Januari 2022 7:39 AM MYT

PUSAT beli-belah Alamanda Putrajaya di bawah Kumpulan Syarikat Suria KLCC sekali lagi bangkit menyalurkan bantuan berupa barangan makanan dan keperluan peribadi sebanyak RM20,000 kepada mangsa banjir dalam kalangan pesakit dan kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 31 Disember lalu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Suria KLCC, Andrew Brien memaklumkan mereka yang terlibat terdiri daripada mangsa yang menetap di kawasan terjejas seperti Taman Sri Muda, Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Dengkil, Gombak dan Jalan Ipoh.

Selain daripada sumbangan tersebut, pihak Alamanda juga turut menyalurkan bantuan bernilai RM10,000 kepada Hospital Putrajaya untuk membantu 168 kakitangan hospital yang terkesan dengan banjir yang melanda sebahagian negeri Selangor pada 20 Disember lalu.

“Antara kawasan yang terlibat adalah Dengkil, Kota Warisan, Banting, Bukit Changgang, Labohan Dagang, Shah Alam dan Warisan Bestari.

“Barangan yang disumbangkan termasuklah makanan sedia ada untuk dimakan dan air minuman yang selalunya sangat diperlukan selepas kejadian bencana alam seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

ANTARA barangan yang disumbangkan kepada Hospital Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya amat bersimpati dengan keadaan yang menimpa mangsa dan percaya bahawa usaha ini sebagai solidariti bersama mereka.

“Kami berbesar hati untuk menghulurkan bantuan kepada anggota barisan hadapan perubatan dan penduduk yang terkesan dengan kejadian banjir disaat mereka memerlukan.

“Di samping keadaan cuaca yang tak menentu, kami menyeru kepada semua untuk kekal selamat dan sentiasa siap siaga terhadap sebarang ancaman keselamatan dan kesihatan awam,” jelasnya yang mengatakan HKL dipilih kerana ia menjadi pusat tumpuan rawatan COVID-19.

Difahamkan, sepanjang tahun lalu, Kumpulan Syarikat Suria KLCC juga telah menyumbangkan barangan makanan sedia untuk dimakan kepada anggota barisan hadapan perubatan di Hospital Sungai Buloh and Hospital Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datin Paduka Dr Rohana Johan turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kumpulan Syarikat Suria KLCC yang sentiasa menghargai anggota barisan hadapan perubatan ketika waktu sukar ini.

“Sumbangan ini tepat pada waktunya yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban anggota barisan hadapan yang sebahagiannya begitu runsing dengan keadaan rumah mereka selepas dilanda banjir,” ujarnya.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar Suria KLCC, Ameer Thajudeen kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datin Paduka Dr Rohana Johan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas