Artikel

Didik warga kota jadi pembersih

SANPAH yang ditinggalkan orang ramai di Dataran Merdeka.
- Diterbit 10 Januari 2020 4:08 AM MYT

“Lambakan sampah bukan saja merupakan isu bandar raya malah isu nasional dan global. Ia sudah dianggap sebagai krisis yang mengancam alam sekitar dan kehidupan liar.

SEPANJANG minggu lalu, ada dua peristiwa kurang enak yang berlaku pada minggu pertama tahun baharu.

Pertama, sampah merata-rata selepas malam sambutan tahun baharu. Kedua, bantahan sekumpulan warga kota di suatu tempat di bandar raya berhubung pemindahan tapak perniagaan malam.
Kedua-kedua berkaitan dengan soal bersih. Pertama, bersih daripada sampah. Kedua, bersih daripada korupsi. Itu hendaklah menjadi azam Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur wajar menjadi kota yang bersih dari segi serba-serbi dan mempunyai majoriti warga kota yang bersih. Biarlah apa yang berlaku sepanjang minggu lalu menjadi kejutan. Kuala Lumpur wajar dibersihkan dalam segala perkara.

Kuala Lumpur pada 1 Januari lalu menyambut tahun baharu di tiga lokasi tradisi. Dataran Merdeka, Jalan Bukit Bintang dan KLCC. Sambutan adalah meriah dan ia menunjukkan keamanan dan kebahagiaan yang dinikmati warga kota.

Dataran Merdeka sejak dari zaman bernama Padang Kelab Selangor menjadi tumpuan warga kota bagi dua peristiwa penting negara.

Sambutan Tahun Baharu dan Ambang Merdeka akan menyaksikan warga kota berhimpun di Jalan Raja dan Dataran Merdeka menunggu detik pukul 12 tengah malam.
Apabila sebaik saja loceng jam besar itu berbunyi, maka orang bersorak dan menyanyi. Ia merupakan pengalaman yang seronok dan menggamit memori.

Tempat kedua adalah di sekitar kawasan Jalan Bukit Bintang. Ia juga menjadi tempat tradisi sambutan tahun baharu dari sejak zaman merdeka lagi. Ini kerana di tapak Kompleks Sungai Wang yang dipanggil BB Park atau Taman Hiburan Bukit Bintang terdapat gerai-gerai dan pusat hiburan seperti kabaret. Maka tidak hairanlah apabila hari tahun baharu datang, ia merupakan tumpuan sebahagian warga kota berhibur.

KLCC pula merupakan pusat tumpuan sambutan tahun baharu yang hanya ada apabila dibina Menara Kembar Petronas dan Taman Rekreasi di situ.

Di depan tasik itu dilancarkan pertunjukan bunga api yang besar. Sebelum wujudnya KLCC, di situlah Padang Lumba Kuda. Sebelum adanya KLCC, pertunjukan bunga api sering diadakan di Lake Garden yang kini dikenali sebagai Taman Botani Tasik Perdana.

Namun isu yang telah berlaku bukannya mengenai acara yang meriah itu tetapi sampah yang disepah-sepah oleh para pengunjung.

Ia dapat kelihatan di ketiga-tiga tempat. Bukanlah tiada tempat pembuangan sampah tetapi banyak sampah dibuang di luar tong sampah.

Keadaan ini menyedihkan dan memalukan. Ia bukan salah pihak berkuasa yang telah menyediakan tong sampah walaupun sewajarnya ditempatkan dengan lebih banyak lagi.

Ia adalah salah warga kota sendiri. Hakikat ia berlaku pada tahun 2020 dengan warga kota yang jauh lebih senang dan mewah serta berpendidikan berbanding dahulu.

Dalam sejarahnya, Kuala Lumpur bukanlah sebuah bandar yang bersih. Pada tahun 1970-an, najis masih diangkut dengan lori di banyak tempat. Tandas-tandas awam amat buruk dan kutipan sampah tidak selancar sekarang.

Kuala Lumpur sudah banyak berubah apabila menjadi bandar raya dan diletakkan di bawah Wilayah Persekutuan. Sistem perkumbahan sudah jauh lebih baik dan sistem kutipan sampah berjalan lancar. Umumnya warga kota lebih berdisiplin kerana pendidikan mereka berbanding dahulu.

Tetapi kebersihan memuaskan belum tercapai. Pertambahan penduduk adalah antara penyebabnya. Dan lebih ketara ialah gaya hidup hari ini yang lebih banyak menghasilkan sampah.

Perubahan

Sememangnya diharapkan gelagat warga kota boleh berubah kepada menjadi pembersih. Di kota-kota lain boleh bersih, maka tidak mustahil warga Kuala Lumpur juga boleh berubah.

Sebagai kota yang hendak menjadi ibu negara maju menjelang tahun 2030, maka adalah diharapkan juga perangai warga kota boleh berubah terutama apabila generasi baru mengambil alih akan menjadi lebih bersih.

Namun begitu perlu disedari masalah sampah adalah suatu yang lebih mendalam dan penyelesaiannya pula perlukan kaedah holistik.

Mengapa orang buang banyak sampah? Jawapannya ialah dalam kehidupan seharian orang moden, banyak barang yang dibeli adalah sampah – terutamanya pembungkusan yang diperbuat daripada plastik atau bahan lain.

Lambakan sampah bukan saja merupakan isu bandar raya malah isu nasional dan global. Ia sudah dianggap sebagai krisis yang mengancam alam sekitar dan kehidupan liar.

Perubahan tingkah laku sememangnya wajar. Maknanya gunakan bekas yang boleh dipakai semula. Bagaimanapun, perkara itu susah diamalkan malah keadaan bertambah buruk.

Kalau dahulu di kedai mamak, orang minum menggunakan cawan atau gelas tetapi sekarang menggunakan plastik ikat tepi.

Selepas diminum, plastik itu dibuang. Itupun kalau dibuang. Banyak kelihatan digantung di merata-rata tempat menjadi sampah sarap.

Jadi perang menentang sampah wajar dibuat bukan saja di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama di daerah-daerah jiran tetapi juga di peringkat nasional.

Pun begitu, perubahan sikap warga kota tetap dituntut. Gaya hidup mengurangkan sampah mesti diterapkan jika warga kota mahu hidup selesa.

Di peringkat pihak berkuasa Pusat, suatu kaedah perlu dicari supaya pengeluar-pengeluar barangan mengurangkan penggunaan bungkusan. Buat masa ini, sebahagian besar sampah adalah plastik minuman.

Kempen

Kempen untuk tidak menggunakan straw plastik sudah pun berjalan. Tetapi itu tidak mencukupi. Perlu dicari bagaimana caranya untuk meminum air mineral tanpa menggunakan botol plastik. Jawapannya ialah semua warga kota perlu biasakan mempunyai bekas air yang boleh disi air secara berulang.

Undang-undang dan peraturan perlu ada untuk menyekat lambakan sampah. Bayangkan syarikat-syarikat perniagaan mengaut keuntungan tetapi pada waktu sama membebankan masyarakat dengan sampah bungkusan.

Kos bagi mengurus sampah semakin lama semakin bertambah. Yang menanggungnya ialah pembayar cukai yang menjadi warga kota.

Mungkin pada asasnya, semua orang perlu kurangkan pembelian. Bila kurang membeli, kuranglah barangan dikeluarkan. Bila barangan kurang dikeluarkan, maka kuranglah sampah.

Tetapi dalam sistem ekonomi masa kini, pengeluaran dan pembelian barangan adalah penggerak ekonomi.

Pergerakan ekonomi pula memberikan kemakmuran pada masyarakat. Tetapi ia perlu diimbangi dengan kesedaran bahawa alam sekitar perlu dipelihara. Jika tidak, kemakmuran itu tidak dapat diwujudkan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas