Berita

Perincian persempadanan zon KKM akan dilakukan

PERINCIAN persempadanan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
- Diterbit 9 April 2020 9:21 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan persempadanan zon yang lebih terperinci bagi membolehkan penguatkuasaan yang lebih berkesan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini di fasa kedua.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, perincian persempadanan zon itu penting kerana pada masa ini rujukan zon yang dilakukan adalah berdasarkan kawasan khidmat Jabatan Kesihatan peringkat daerah dalam kawasan.

Jelas beliau, selepas diberikan perakuan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan lokaliti yang lebih spesifik, langkah selanjutnya termasuk penguatkuasaan, membebaskan atau mengeluarkan sesuatu kawasan terutamanya zon hijau dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP) sedikit berpuas hati apabila trend semasa jangkitan Covid-19 di Wilayah Persekutuan menunjukkan penurunan berbanding hari-hari sebelumnya.

Sehubungan itu, ujar beliau, pihaknya akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kawasan merah menjadi kuning dan seterusnya hijau iaitu bebas daripada wabak Covid-19.

“Sehingga semalam, pertambahan harian kes positif hanya 16 orang berbanding hari-hari sebelumnya, ia agak rendah dan berkurangan. Ini menjadikan kes positif Covid-19 Wilayah Persekutuan berjumlah 730 di Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala 13 di Labuan.

“Yang kurang baik adalah, keseluruhan kes di Putrajaya adalah 45 orang, mengikut takrifan Kementerian Kesihatan (KKM) jika lebih 40 adalah berbahaya. Langkah untuk terus menguatkuasakan PKP secara lebih berkesan akan dilakukan.

“Sementara di Lembah Pantai, Kepong, Titiwangsa dan Cheras adalah kawasan yang sudah pun melepasi angka 40 tetapi pertambahan baru adalah dalam suasana terkawal,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas