Berita

Sultan Selangor beri perkenan cadangan pembangunan semula Kampung Baru

|||
- Diterbit 22 November 2019 8:13 AM MYT

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar kawasan Kampung Baru dibangunkan semula.

Langkah itu seiring dengan kemajuan pesat bandar raya Kuala Lumpur supaya kawasan tradisi orang Melayu itu terus relevan.

Selangor Royal Office dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, dalam masa sama, baginda turut menekankan peri- pentingnya susur galur sejarah Kampung Baru dipelihara, termasuk memulihara struktur bangunan ikonik dan mengekalkan nilai-nilai asal kawasan berkenaan.

Terdahulu kenyataan itu berkata, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad di Istana Bukit Kayangan di sini pada petang Khamis (21 November).

Turut menyertai rombongan beliau adalah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Amrin Buang.

Kata kenyataan Selangor Royal Office, pada pertemuan itu, Khalid dan PKB telah menyembahkan kepada baginda pelan pembangunan semula Kampung Baru dan isu-isu semasa yang berkaitan dengannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas