Berita

Anwar Ibrahim setuju pembangunan Kampung Baru

KAMPUNG BARU. - Gambar hiasan
- Diterbit 22 November 2019 6:34 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menarik balik kenyataan bahawa laporan media yang menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan Akta Pembangunan Kampong Bharu dimansuhkan jika Pakatan Rakyat (PR) menang dalam Pilihan Raya Umum 2013.

Beliau berkata, ketika menjawab celahan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat (malam 19 November lalu) ia adalah berdasarkan ingatannya bahawa kenyataan Anwar itu dibuat ketika perbahasan akta berkenaan sedang berjalan dan bukan sesudah perbahasan itu selesai dan ia diluluskan.

“Namun selepas saya menyemak balik fakta kes ini, didapati kenyataan Anwar dibuat selepas akta itu telah diluluskan bukan ketika dibahaskan sebagaimana ucapan saya dalam sessi penggulungan itu.

“Bagaimanapun, kenyataan Anwar tersebut dibuat atas sebab membantah unsur pengambilan tanah secara paksa yang telah ingin diterapkan dalam draf asal akta itu,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Khalid berkata, beliau juga telah bertemu dengan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dan turut membincangkan perkara ini.

“Beliau bersetuju dengan cadangan pembangunan Kampung Baru sebagaimana dirancangkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan berharap dapat membantu melaksanakan cita-cita murni ini.

“Persetujuan ini adalah atas sebab usaha KWP kini adalah berdasarkan konsep ‘willing buyer, willing seller’ tanpa adanya apa-apa unsur paksa­an,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas