Berita

SUKPAR bukan raih Undi 18

ANTARA e-sports yang menjadi pilihan ramai pada SUKPAR 2021.
- Diterbit 22 Oktober 2021 3:11 AM MYT

SUKAN Parlimen (SUKPAR) 2021 yang bermula 22 Oktober sehingga 5 Disember akan datang bukan bertujuan memancing undi daripada remaja berusia 18 tahun.

Ia sebaliknya diperkenalkan untuk meningkatkan amalan bersukan dan menanamkan semangat perpaduan.

Berkata mengenainya, tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kejohanan yang dianjurkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) lebih kepada mewujudkan budaya sihat dalam kalangan komuniti setempat di samping mencari atlet pelapis negara.

“Niatnya kerana Allah biar wilayah ini sihat dalam masa sama kompetitif. Kita lihat banyak atlet-atlet negara datang dari sini dan kita nak wilayah berdaya saing dengan kawasan-kawasan lain,” ujar beliau dalam sesi media sejurus merasmikan SUKPAR 2021 di Dewan Serbaguna Kementerian Wilayah Persekutuan.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar, Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan; Datuk Ramlan Shahean@Askolani dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya pada perasmian SUKPAR 2021 berkata dijangkakan seramai 10,000 warga Wilayah Persekutuan akan turut serta pada edisi kali ini.

“Penganjur sudah menerima pelbagai penyertaan daripada mereka yang berminat untuk menyertai SUKPAR 2021 yang diadakan secara maya dengan membabitkan keseluruhan enam jenis sukan.

“Apa yang lebih istimewa adalah permainan video FIFA22 yang dipertandingkan pada SUKPAR 2021 kali ini merupakan penganjuran pertama yang dilaksanakan di Malaysia dan bakal diadakan secara berterusan,” ujar beliau.

Sebelum ini, pada 19 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan ingin memberikan kuasa yang besar kepada anak muda melalui taruhan kepada Undi 18. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas