Berita

Isu kerosakan lif bakal berakhir

ISMAIL Sabri diiringi Shahidan meninjau keadaan lif dan persekitaran penempatan PA Seri Perak semasa sesi turun padang pada Sabtu lalu. ISMAIL Sabri diiringi Shahidan meninjau keadaan lif dan persekitaran penempatan
- Diterbit 22 Oktober 2021 5:00 AM MYT

MASALAH lif rosak yang sering menghantui penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) bakal berakhir apabila kerajaan berikrar untuk menggantikannya dengan lif baharu bermula awal tahun depan.

Penggantian lif di keseluruhan 67 kawasan PPR dan PA dilihat dapat memberikan keselesaan kepada penduduk di situ sekali gus menonjolkan keprihatinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan setiap Keluarga Malaysia menikmati kemudahan terbaik.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM127 juta turut menunjukkan kesungguhan kerajaan demi memastikan penduduk di kawasan PPR dan PA menikmati kemudahan setanding dengan rumah-rumah pangsa yang lain di samping harga sewaan yang rendah.

Berkata mengenainya, Ismail Sabri memberitahu, projek tersebut akan bermula pada tahun hadapan selepas proses perolehan selesai.

“Di mana-mana PPR pun, lif ini sangat penting untuk pergerakan penduduk dan kerajaan memandang serius masalah ini (lif lama dan rosak).

“Saya berharap proses perolehan dapat dipercepatkan dan jangka masa (kerja penggantian lif) mungkin setahun hingga dua tahun bergantung kepada kontrak serta jumlah blok bagi setiap PPR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau PA Seri Perak dekat Bandar Baru Sentul pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Jelas Ismail, masalah lif rosak serta kerosakan kecil lain yang berlaku di PA Seri Perak seolah-olah mencerminkan keadaan keseluruhan 67 PPR dan PA di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Saya tidak melawat di semua PPR kerana PA Seri Perak ini menggambarkan keadaan yang sama.

“Kerajaan juga turut meluluskan sebanyak RM15 juta untuk semua PPR dan PA dinaik taraf, baik pulih kerosakan kecil di bawah projek PEMERKASA (Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi).

“Jadi saya harap dengan bajet yang telah diberikan kerajaan persekutuan untuk menaik taraf kemudahan dan juga RM127 juta yang diperuntukkan DBKL untuk menggantikan lif terlibat, tidak akan ada isu lagi dan saya harap dapat mengurangkan masalah berkaitan rumah PPR di seluruh Wilayah Persekutuan,” katanya.

Tambah Ismail, pihaknya turut meneliti beberapa kaedah bagi mengatasi masalah parkir di kawasan perumahan tersebut termasuk cadangan membina bangunan bertingkat bagi kemudahan meletak kenderaan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas