5,000 CCTV berfungsi akhir tahun ini pantau lalu lintas, jenayah
Shahidan bersama pegawai tinggi KWP dan DBKL di majlis Pelancaran Kuala Lumpur Control & Command Centre (KLCCC) di Pusat Pengurusan Pengangkutan DBKL dekat Bukit Jalil Jumaat lalu.

5,000 CCTV berfungsi akhir tahun ini pantau lalu lintas, jenayah

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik untuk memantau keadaan trafik serta aset miliknya di sekitar bandaraya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pemasangan tersebut terbahagi kepada dua fasa iaitu kira-kira 3,000 unit CCTV pada fasa pertama bagi tujuan pemantauan trafik, taman-taman dan pasar awam sekitar ibu negara.

“Untuk Fasa Kedua pula melibatkan sebanyak 2,000 unit CCTV dipasang untuk kegunaan sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKL bagi pemantauan jenayah yang dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mengumumkan penjenamaan semula iTIS kepada Kuala Lumpur Control & Command Centre (KLCCC) di Pusat Pengurusan Pengangkutan DBKL dekat Bukit Jalil Jumaat lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Sosioekonomi, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Parang Abai @ Thomas; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Shahidan berkata, CCTV tersebut dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dapat membantu DBKL menjalankan pemantau untuk situasi di luar
jangkaan.

“Ia boleh digunakan untuk memantau kerosakan jalan, meneliti ‘road-marking’ yang pudar, memantau kerosakan lampu jalan dan lampu isyarat, mengesan kesalahan trafik yang menyebabkan kesesakan, memantau pokok tumbang dan sebagainya.

“Ia boleh mengesan kejadian dan situasi ‘real-time’ seperti jalan berlubang,  tumpahan simen dari lori, serta penjaja haram di jalanan melalui notifikasi peristiwa tersebut.

“Ia amat membantu DBKL dalam melaksanakan kerja-kerja pemantauan, pencegahan, penguatkuasaan dan juga penyelenggaraan serta telah terbukti dapat mengurangkan penggunaan bajet penyelenggaraan pencegahan oleh DBKL,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan penjenamaan semula Pusat Pengurusan Pengangkutan (iTIS) kepada nama baru iaitu Kuala Lumpur
Command And Control Center (KLCCC) selari dengan fungsi dan peranan yang semakin berkembang dan menyeluruh.

Katanya, dengan adanya liputan kamera pintar yang meluas serta platform KLCCC tersebut, ia mendekatkan lagi visi kita untuk mewujudkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Sejahtera menjelang tahun 2030.

“Kamera tambahan ini wajar dipertimbangkan untuk meliputi lebih banyak kawasan bagi mengurangkan blind spots serta memaksimakan penggunaan ciri-ciri dalam sistem yang dibangunkan.

“Kuala Lumpur mempunyai landasan yang kukuh dan saya yakin ia mampu mencapai tahap yang lebih membanggakan khasnya dengan penyediaan awal dan dengan meluaskan pemantauan bandaraya menerusi penambahan kamera pintar kepada sistem yang sedia ada,” ujarnya. -WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )