Berita

SUKMA 2022: Wilayah Persekutuan tempah tiket ke separuh akhir 

WILAYAH Persekutuan meraikan kemenangan apabila layak ke separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti.
- Diterbit 19 September 2022 4:22 PM MYT

SKUAD bola sepak Wilayah Persekutuan menempah tiket ke separuh akhir sejurus menumbangkan pasukan Johor dengan penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir di Stadium UiTM Shah Alam

Pemenang hanya dapat ditentukan setelah sepakan ke-11 yang gagal disudahkan oleh penjaga gol Johor untuk memberikan kemenangan kepada Wilayah Persekutuan 5-4 menerusi penentuan penalti.

Aksi 120 minit itu menyaksikan kedua-dua pasukan berakhir dengan mata seri 1-1.

Wilayah Persekutuan terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan tunggal Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-13.

Johor mencari mata penyamaan menerusi pemain bernombor enam, Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman yang berjaya menjaringkan gol sebelum separuh masa pertama perlawanan ditamatkan.

Di babak kedua permainan, kedua-dua pasukan mencari mata namun nasib tidak menyebelahi apabila setiap serangan gagal diterjemah kepada gol.

Malah, 30 minit masa tambahan turut gagal dimanfaatkan kedua-dua pasukan sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Zolkipli Samion bakal bertemu pasukan Pulau Pinang di aksi separuh akhir pada Rabu ini.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas