Berita

MICA tawarkan geran RM1.2 juta untuk penyelesaian impak sosial

- Diterbit 19 September 2022 3:30 PM MYT

PROGRAM “MRANTI Impact Challenge Accelerator” (MICA) yang dilancarkan hari ini menyediakan RM1.2 juta dalam bentuk geran, bantuan dan perkhidmatan untuk syarikat pemula dan pencetus inovasi teknologi dalam bidang perubahan iklim, pemetaan dan pengurusan bencana serta pemakanan tidak seimbang.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini berkata program itu merupakan satu kerjasama antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Proficeo Consultans Sdn Bhd yang mewakili perkongsian kerajaan-swasta.

Menurut kenyataan itu program berkenaan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula September 2022 untuk tempoh 12 bulan dengan peserta-peserta akan mempunyai akses untuk latihan perniagaan, penyelesaian impak dan perkhidmatan tambah nilai.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sokongan akan diberikan dalam bentuk pembinaan keupayaan, akses pasaran dan peluang perangkaian.

“Kesedaran dan tindakan untuk menangani isu perubahan iklim dan pemakanan tidak seimbang seharusnya diuruskan secara strategik dan berkesan. Ia sepatutnya dipupuk dalam semua lapisan masyarakat dan semuda mungkin. Program MICA selari dengan wawasan negara untuk membangunkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi dan ia menyokong komitmen kerajaan ke arah pembangunan mampan sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu impak program berkenaan akan memberi manfaat kepada generasi akan datang terutamanya kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang merupakan 28 peratus daripada populasi Malaysia.

Dalam menangani perubahan iklim, MICA mencari penyelesaian yang boleh melengkapkan kanak-kanak dan remaja dengan pengetahuan atau kemahiran sesuai untuk mengurangkan risiko perubahan iklim, kata MOSTI.

“Mengenai pengurusan bencana, program itu menggalakkan penyelesaian berasaskan teknologi yang boleh menjangka risiko dan berfungsi sebagai mekanisme amaran awal utuk bencana semula jadi atau angkara manusia, katanya.

Bagi menangani peningkatan kes pemakanan tidak seimbang, MICA mengalu-alukan penyelesaian termasuk dari segi pendidikan, komunikasi dan akses kepada sumber sumber pemakanan berkhasiat kepada kumpulan sasar ibu dan bayi, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas