Berita

Kadar sewa Rumah Majlis separuh dari harga pasaran

SHAHIDAN (tengah) mendengar penerangan mengenai rancangan pembinaan Rumah Majlis Bandar Tun Razak pada Majlis Pecah Tanah hari ini.
- Diterbit 20 September 2022 9:47 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberi jaminan bahawa pembinaan Rumah Majlis (Council Home) adalah untuk membantu warga kota menduduki rumah sementara dengan kadar sewaan lebih rendah.

Katanya, jaminan itu bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) membuat simpanan sebelum membeli kediaman sendiri.

“Rumah Majlis akan memberi peluang kepada warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk duduk di rumah lebih selesa daripada keluasan sekarang 400 uatau 500 kaki persegi kepada 800 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Kadar sewa pula mesti separuh atau murah daripada harga pasaran semasa. Kalau harga pasaran sekarang RM1,500 hingga RM2,000, mereka perlu bayar separuh dan ia mungkin sekitar RM700 sahaja,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Rumah Majlis Bandar Tun Razak, Cheras hari ini.

Hadir sama Pengerusi SW Corp, Datuk Rizalman Mokhtar dan Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Sulaiman Mohamed yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau berkata bagi menjayakan projek tersebut, DBKL memperuntukkan kira-kira RM200 juta bagi membina Rumah Majlis membabitkan 702 unit kediaman itu di atas tanah milik DBKL.

“Antara kemudahan yang disediakan adalah pasar raya, pasar basah, dewan serbaguna serta sebuah surau,” katanya.

Tambahnya, pembinaan ini turut melibatkan keseluruhan kompleks dengan kawasan sementara akan disediakan bagi memberi laluan untuk membangunkan projek tersebut.

DBKL menetapkan sasaran sebanyak 5,000 unit Rumah Majlis dibina pada tahun ini dengan empat projek sedang berjalan, iaitu di Sungai Udang, Segambut; Bandar Tun Razak; Bandar Baru Sentul dan Taman Desa Seputeh manakala dua lagi projek yang dirancang ialah di Bandar Sri Permaisuri dan Sungai Besi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas