Atlet Wilayah

SUKMA 2022: Langkah Wilayah Persekutuan disekat

AKSI ketika perlawanan separuh akhir di antara pasukan Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.
- Diterbit 21 September 2022 3:42 PM MYT

LANGKAH skuad bola sepak Wilayah Persekutuan (WiPers) dalam memburu ibu segala pingat pada temasya SUKMA XX MSN 2022 disekat oleh pasukan Pulau Pinang.

Perlawanan separuh akhir yang diadakan di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi menyaksikan pasukan Wilayah Persekutuan kalah tipis 0-1.

Pulau Pinang mendahului dengan jaringan oleh ketua pasukannya, Mohd Danial Irfan Mohd Nazri menerusi sepakan penalti pada minit ke-39.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan Wilayah Persekutuan mencari mata penyamaan dengan beberapa serangan ke arah pintu gol namun gagal sekali gus keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.

Sedikit kekecohan berlaku di hujung minit permainan apabila pemain Wilayah Persekutuan dilayangkan kad merah namun ia dibantah oleh pegawai pasukan menyebabkan permainan terhenti buat seketika.

Pulau Pinang akan bertemu Terengganu manakala Wilayah Persekutuan bertemu Selangor sekali lagi bagi penentuan pingat gangsa pada perlawanan akhir Jumaat ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur  –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas