Selebriti

Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) kurangkan beban frontliners – Nizham

- Diterbit 17 Jun 2021 11:13 PM MYT

PENUBUHAN Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) dilihat satu langkah positif yang digerakkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Sambutan luar biasa masyarakat terutamanya anak-anak muda dalam menyertai PriVo sangat membanggakan.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah Hamidi,38, kesungguhan PriVo ini harus dipuji kerana penglibatan mereka melancarkan lagi program saringan kesihatan dan pemberian vaksin COVID-19.

“Jika kita lihat, sudah hampir dua tahun para petugas barisan hadapan ini bekerja keras berhadapan dengan COVID-19, jadi PriVo adalah platform yang bagus untuk ahli-ahli menyumbangkan sesuatu kepada negara.

“Dengan penglibatan mereka, sedikit sebanyak boleh mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan. Ia juga adalah bukti sama-sama mereka berjuang untuk negara.

“Dalam keadaan kes COVID-19 yang semakin tinggi ini, kita semua takut. Namun jika dilihat semangat sukarelawan PriVo, bukan dapat apa pun tapi mereka gagahkan diri demi melihat negara bebas COVID-19, ” jelas Nizham yang ditemui pada program Vaksin Bergerak MyMedic @Wilayah di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nizham juga mengaku teruja melihat kesungguhan PriVo dalam berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Target seramai yang boleh. Kalau sampai berpuluh-puluh ribu pun kita terima. Ini disebabkan kerja-kerja sukarelawan bukan hanya berkaitan program saringan dan vaksin COVID-19, tetapi mereka akan terlibat dalam program-program lain juga pada masa akan datang.

“Ahli-ahli PriVo ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Mereka terdiri daripada penduduk yang lahir, menetap atau bermastautin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Semuanya datang dari sini.

“Jadi inilah masa untuk mereka menabur jasa di tempat sendiri.

“Harapan saya agar ramai lagi anak-anak muda kota tanpa mengira agama, bangsa dan adat, dapat menyertai PriVo. Semuanya kami alu-alukan untuk sama-sama menyumbang sesuatu yang berharga buat negara.

“Menyentuh tentang aktiviti PriVo yang lain, sudah tentu buat masa ini ada beberapa kekangan disebabkan pandemik ini. Jadi, selain program berkaitan berkaitan vaksin COVID-19, mereka akan turun padang untuk bersama-sama membantu komuniti seperti penyerahan makanan dan juga bantuan-bantuan lain,” ujar Nizham lagi.

Kepada mereka yang belum menyertai PriVo, jom sertai sekarang. Layari yayasanwp.org/priVo untuk maklumat lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas