Selebriti

Lagu Wilayah Prihatin bangkitkan semangat positif – Wany Hasrita

- Diterbit 17 Jun 2021 2:06 AM MYT

‘SALING prihatin itu cara kita, bantu membantu tiada derita, lakukan demi kasih sesama insan’
Itulah antara bait lirik lagu Wilayah Prihatin yang juga lagu tema Wilayah Persekutuan.

Lagu yang menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam membantu, memberi inspirasi dan membangkitkan semula semangat masyarakat ini sinonim dengan prinsip Wilayah Prihatin.

Bagi penyanyi popular Wany Hasrita,28, yang menyanyikan lagu ini bersama Hael Husaini dan Malique, Wilayah Prihatin merupakan karya yang segar dan mencetuskan satu persekitaran yang positif dalam kalangan masyarakat.

“Apabila dengar lagu Wilayah Prihatin ini, timbul lebih rasa sayang kepada Malaysia terutamanya Wilayah Persekutuan. Apatah lagi Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara kita.

“Apabila dihayati melodi dan liriknya, lagu ini mewujudkan rasa positif dalam diri. Apabila kita diberikan sesuatu yang positif, maka kita akan ke arah yang lebih baik.

“Begitu juga jika persekitaran kita negatif, maka sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi kita jika jati diri tidak kuat.

“Jadi di sini, terbuktilah lagu Wilayah Prihatin yang disertai dengan bait-bait lirik yang positif, secara tak langsung melahirkan semangat positif kepada masyarakat yang mendengarnya.

“Bagi saya, lagu-lagu positif seperti Wilayah Prihatin ini perlu diperbanyakkan lagi. Ini kerana lagu boleh menaikkan semangat sesiapa sahaja yang mendengarnya,” jelas Wany Hasrita yang mengaku berasa bangga apabila diberikan peluang merakamkan lagu Wilayah Prihatin.

Menurut Wany, ini adalah salah satu impiannya yang menjadi kenyataan.

“Saya rasa sangat terharu dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu tema Wilayah Persekutuan ini.

“Namun dalam masa yang sama, saya ada rasa segan sebenarnya kerana diberikan peluang sebesar ini. Saya anggap ini sebagai rezeki.

“Kalau nak tahu, antara impian saya berada dalam industri muzik ini adalah menyanyikan lagu-lagu patriotik yang menarik masyarakat terutamanya golongan remaja untuk lebih mencintai Malaysia.

“Alhamdulillah.. sudah tentu saya berasa cukup berbesar hati apabila dipilih untuk menjadi salah seorang penyanyi lagu Wilayah Prihatin.

“Ia lebih bermakna apabila bekerjasama dengan Malique dan Hael Husaini yang semua orang tahu kredibiliti mereka. Ini juga pengalaman yang sangat berharga dan indah buat saya dalam kerjaya sebagai anak seni,” ujar Wany Hasrita lagi.

 

 

Wilayah Prihatin

Komposer: Malique & Hael Husaini
Penyanyi: Wany Hasrita & Hael Husaini

Wilayah kita, di wilayah kita
Sejuta senyuman, satu hati
Walau apa yang menduga, kita santun bersama
Di wilayah kita, oh Wilayah Prihatin
Perjalanan kehidupan
Menghimpun kita di sini
Di bumi ini

Menzahirkan azam dan impian
Kesempurnaan
Damai harmoni
Satu persatu episod tercipta
Berganding bahu kejar cita-cita
Sesungguhnya sejarah kan membuktikan
Buktikan

Saling prihatin itu cara kita
Bantu membantu tiada derita
Lakukan demi kasih sesama insan
Wilayah kita, di wilayah kita
Walau apa yang menduga, kita santun bersama
Di wilayah kita, oh Wilayah Prihatin

Kemakmuran yang kita kecapi
Milik bersama
Warisan kita

Dipertahankan dengan sepenuh raga
Kita dewasa bersama
Sebagai satu keluarga
Saling prihatin itu cara kita
Bantu membantu tiada derita
Lakukan demi kasih sesama insan
Ihsan

Syurga ini direka cipta jelata
Ekar demi ekar, bata demi bata
Dibina berkat doa, keringat dan air mata
Buktinya tersergam di antara bintang-bintang
Wilayahku yang tersohor tempat lahir bintang-bintang
Namun apa guna kejayaan tanpa cakna
Tanpa perkongsian kekayaan tak bermakna
Didik anak kita budayakan penuh jitu
Teguh jasmani, etika, ihsan, ilmu
Rasa nikmat kehijauan burung yang berkicauan
Disambut tawa riang warga yang berkilauan
Bumi bitara produktif juga konstruktif
Wilayah inklusif, kondusif, konklusif
Kadangkala muncul hari tak dimahu
Percayalah yang ini juga kan berlalu
Putra ke Kuala ke permata bawah bayu
Masyhur lagi makmur wilayahku dirgahayu, amin

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas